PETALING JAYA: Bahang separuh akhir Piala Malaysia mula terasa apabila Selangor FC dan Kuching City FC bakal berentap dalam aksi Liga Super, malam ini, yang dilihat sebagai ‘perang awal’ sebelum pertemuan sebenar di pentas kalah mati pada April depan.
Pertembungan dua pasukan kelompok teratas itu bukan sekadar memburu tiga mata, malah menjadi medan menguji kekuatan dan psikologi menjelang aksi separuh akhir yang pastinya lebih getir.
Tidak keterlaluan untuk menyifatkan perlawanan ini sebagai gambaran awal siapa lebih bersedia memburu tiket ke final.
Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon, mengakui beliau tidak pernah memandang ringan kemampuan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak yang kini semakin matang dan konsisten.
Menurutnya, kekalahan 0-1 di Stadium Negeri pada September lalu masih segar dalam ingatan dan menjadi amaran jelas bahawa Kuching City bukan pasukan yang mudah digugat.
“Ya, ia akan jadi perlawanan menarik kerana selepas ini kami akan bertemu lagi di separuh akhir. Tetapi untuk aksi liga ini, saya sedar Kuching City antara pasukan terkuat ketika ini.
“Saya sentiasa menghormati mereka dan kami perlu memberikan yang terbaik,” katanya.
Kehadiran pemain seperti Gabriel Palmero dan Jerome Etame nyata menyuntik dimensi baharu kepada The Cats.
Kedua-duanya pantas menyesuaikan diri dan menambah keseimbangan di bahagian pertahanan serta serangan, sekali gus menjadikan wakil Bumi Kenyalang itu lebih ampuh dan berdisiplin.
Ketika ini, Selangor menghuni tangga kedua dengan 32 mata, hanya satu mata di hadapan Kuching City di tempat ketiga.
Jurang tipis itu menjadikan aksi malam ini cukup signifikan dalam menentukan momentum menjelang separuh akhir Piala Malaysia.
Dengan reputasi, kedudukan liga dan maruah menjadi taruhan, pertembungan ini dijangka berlangsung dalam tempo tinggi serta sarat percaturan taktikal.
Dalam masa yang sama, Aidil memilih untuk lebih berahsia mengenai taktikal yang bakal digunakan dalam aksi berdepan Gergasi Merah.
Aidil turut menyifatkan aksi liga membabitkan kedua-dua pasukan itu kali ini dijangka menarik kerana Selangor pasti akan memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk melebarkan rekod tanpa kalah Pan Gon.
“Perlawanan ini pasti menarik dan sukar kerana kami tahu Selangor bermain di MBPJ dengan sokongan penyokong mereka sendiri,” tambahnya.-UTUSAN











