SEREMBAN: Lebih tiga hektar hutan membabitkan kawasan di Taman Bukti dan Taman Nusa Intan di sini terbakar dalam kejadian yang berlaku semalam.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Muhammad Syazwan Tajuddin berkata, kebakaran di Taman Bukti melibatkan kawasan seluas lebih satu hektar di lereng bukit hutan.
Katanya, pihak bomba menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 9.30 malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang digerakkan ke lokasi bagi operasi pemadaman api.
“Laporan komander operasi memaklumkan kebakaran merangkumi kawasan lereng bukit hutan dan ia berlaku berhampiran kawasan perumahan.
“Sementara itu, pada waktu yang sama turut berlaku satu lagi kebakaran hutan di Taman Nusa Intan yang melibatkan keluasan kawasan kira-kira 2 hektar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Muhammad Syazwan berkata, operasi pemadaman kebakaran di Taman Bukti tamat pada pukul 12.20 tengah malam tadi manakala operasi di Taman Nusa Intan pula berakhir sekitar pukul 1.30 pagi.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan bagi kedua-kedua kejadian dan punca kebakaran belum dikenal pasti,” katanya.-UTUSAN










