PETALING JAYA: Cadangan bagi memperluaskan subsidi bahan api dengan menggunakan keuntungan syarikat minyak Petronas hanya akan membebankan kewangan negara.
Ahli Parlimen Kampar dari DAP, Chong Zhemin berkata, Malaysia perlu menjadikan Norway sebagai negara contoh dengan hasil minyak disimpan dan dilaburkan di peringkat global, sekali gus membolehkan pengumpulan kekayaan jangka panjang dan kestabilan fiskal.
“Malaysia perlu bergerak ke arah yang sama dengan memastikan sebahagian besar keuntungan Petronas disalurkan kepada simpanan dan pelaburan jangka panjang, bukannya dihabiskan sepenuhnya melalui subsidi jangka pendek.
“Malaysia juga perlu mengimbangi bantuan segera dengan kestabilan jangka panjang yang memerlukan keputusan dasar yang teliti dan berdisiplin, bukannya langkah populis jangka pendek yang boleh mencetuskan cabaran lebih besar pada masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas cadangan Pengerusi Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy yang menggesa agar ditubuhkan Jawatankuasa Parlimen Bipartisan untuk meneliti kemungkinan menggunakan keuntungan Petronas bagi menampung subsidi petrol susulan kenaikan harga minyak ekoran konflik di Asia Barat.
Dalam pada itu, Zhemin berkata, walaupun keuntungan Petronas meningkat akibat harga minyak global tinggi peningkatan tersebut hanya cukup untuk menampung subsidi sedia ada.
Katanya, dalam senario harga minyak melebihi AS$120 (RM472) atau AS$150 (RM590) setong, beban subsidi boleh melebihi RM70 bilion hingga RM80 bilion setahun, jauh melebihi keuntungan tambahan Petronas.
“Keuntungan tambahan Petronas mungkin hanya meningkat kepada kira-kira RM40 bilion hingga RM55 bilion (ekoran peningkatan harga minyak).
“Ini sudah menimbulkan jurang fiskal yang semakin meluas. Dalam senario lebih ekstrem pada harga AS$150 (RM590), kos subsidi boleh melebihi RM80 bilion setahun, jauh melebihi sebarang keuntungan tambahan daripada Petronas.
“Ini jelas menunjukkan bahawa harga minyak yang tinggi tidak mengukuhkan kedudukan fiskal Malaysia malah menambah tekanan,” ujarnya.-UTUSAN










