KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berpendirian sentiasa akur dan patuh terhadap setiap keputusan kepemimpinan parti itu.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ia termasuk sekiranya dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 1 Januari lalu.
“Saya tidak tahu mengenai nama calon pengganti Muhyiddin dan bukan ahli mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
“Namun, jika dilantik, saya orang parti, jadi apa sahaja keputusan parti, saya akan akur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Gerakan, hari ini.
Terdahulu, Pas menegaskan parti itu mahu menerajui PN dan akan mengumumkan calon pengerusi gabungan tersebut Ahad ini menerusi Mesyuarat Luar Biasa MT PN.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut telah persetujui oleh parti komponen dalam PN.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Pas sudah mempunyai calon untuk mengisi jawatan Pengerusi PN dan keputusan muktamad ditentukan dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi gabungan itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, calon berkenaan dikenal pasti hasil rundingan bersama semua parti komponen dalam PN bagi memastikan keputusan dicapai secara konsensus.
Katanya, pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas mesyuarat berkenaan sebagai menghormati proses dan persefahaman dalam gabungan tersebut. – UTUSAN










