KOTA KINABALU: “Saya ada menasihati ibu supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki itu, walaupun sekadar kawan.
“Saya minta supaya ibu menjauhkan diri sepenuhnya daripada individu itu,” kata seorang lelaki yang mendakwa anak kepada wanita yang mati dikerat dan mayatnya dibuang di beberapa tong sampah di Taman Indah Permai, Menggatal, dekat sini, baru-baru ini.
Menceritakan perkara itu menerusi laman sosial TikTok, anak lelaki wanita itu mendakwa konflik pertunangan dengan suspek dipercayai menjadi punca tragedi pembunuhan ibunya berlaku.
Mengenai wang pertunangan, dia mendakwa ibunya sudah mengembalikan wang berkenaan kepada individu terlibat.
“Mama sudah bayar RM7,000 selepas lelaki itu bersetuju putus,” katanya.
Menurutnya, sepanjang tempoh pertunangan kira-kira dua hingga tiga bulan, hubungan ibunya dengan lelaki terbabit sering berlaku pertengkaran mulut akibat perbezaan pendapat dan kurang sefahaman.
“Apabila sudah selalu bergaduh, Mama (mangsa) buat keputusan untuk tidak teruskan. Dia datang jumpa keluarga dan setuju putus tetapi minta RM7,000. Mama sudah bayar,” dakwanya.
Bagaimanapun, katanya, walaupun hubungan sudah berakhir, lelaki terbabit masih mengganggu ibunya.
“Lelaki itu tidak menggunakan satu nombor telefon sahaja sebaliknya menghubungi menggunakan enam nombor berbeza. Pada masa sama, saya ada menasihati ibu supaya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki terbabit.
“Ibu saya bersetuju dan mengatakan akan mengikut nasihat saya serta melakukan apa yang terbaik demi kebaikan bersama,” katanya. – UTUSAN










