Saya kena kuat untuk keluarga - Adrian Adam - Utusan Malaysia

Saya kena kuat untuk keluarga – Adrian Adam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KELANG: Anak kepada Amyza Adnan, Adrian Adam reda menerima pemergian abangnya, Andre Mikhail yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam akibat kanser.

Katanya, dia menganggap pemergian abangnya sebagai ujian dan ketentuan Illahi.

“Saya reda dan saya harap Allah merahmati abang saya dan lindungi dia daripada azab kubur dan api neraka.

“Apa pun saya kena kuat untuk keluarga saya, terutamanya untuk ibu dan ayah serta adik saya,” katanya yang ditemui di Tanah Perkuburan Ukay Perdana, pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir  kira-kira pukul 10.30 malam semalam di HKL akibat kanser paru-paru.

Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan tersebut sekitar pukul 10.40 pagi tadi selepas dimandi dan disolatkan di masjid Al-Khairiah AU3.

Disoal mengenai perbualan terakhir, Adrian memaklumkan Allahyarham tidak banyak berkomunikasi malah lebih kerap berdiam diri.

Saat-saat terakhir dia, saya ada bersama Sebenarnya. Masa itu dia sudah di awang-awangan. Bila kita tanya, dia seperti mengigau, mamai.

“Saya tanya sama ada dia mahu  makan. Jawabnya tidak, dia hanya mahu berehat.

Esoknya, dia sedar semula. Tapi saya sudah tidak ada di hospital.

“Selepas tu dia tidur semula. Lepas itu dia nazak. Itulah kali terakhir saya bercakap dengan arwah,” kongsinya lagi.

Adrian dalam masa yang sama terharu dengan kehadiran ramai sahabat arwah dan rakan selebriti ibunya yang memberi penghormatan pada majlis pengebumian pagi tadi.

“Saya bersyukur,  itu satu anugerah dari Tuhan. Rezeki orang doakan dia.

“Bila saya tengok kawan-kawan selebriti hadir, saya rasa terharu. Saya rasa bersyukur sangat,” kongsinya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN