PUTRAJAYA: Mana-mana syor dapatan siasatan yang masih gagal diambil tindakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan diumumkan secara terbuka.
Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, ia sebagai langkah untuk memperkukuh tadbir urus serta memastikan akauntabiliti.
Katanya, tindakan itu adalah susulan daripada peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi tempoh satu minggu kepada ketua-ketua agensi untuk memastikan tanggungjawab dilaksanakan.
“Tindakan ini bertujuan menegakkan keadilan terbaik bagi semua pihak dan memastikan keberkesanan institusi tidak dikompromi, selaras dengan mandat EAIC terhadap rakyat.
“Pengurusan tatakelakuan pegawai awam perlu dilaksanakan secara berdisiplin dan mengikut tatacara yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, hampir 80 peratus aduan salah laku anggota penguat kuasa termasuk berkaitan isu integriti tidak diambil tindakan, walaupun telah dirujuk kepada unit tatatertib jabatan terlibat.
Jumlah itu merangkumi 62 daripada 75 kes yang dirujuk EAIC kepada jabatan berkaitan dengan mengemukakan syor tindakan tatatertib terhadap penjawat awam terlibat.
Ismail berkata, setiap laporan yang dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib hendaklah diproses mengikut prosedur pengurusan tatatertib.
Katanya, ia menjadi kewajipan ketua jabatan untuk menjalankan kawalan serta pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya selaras dengan Peraturan 3C P.U (A) 395/1993.
“EAIC berharap semua agensi yang terlibat dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mengambil tindakan sewajarnya dan mengemukakan maklum balas dalam tempoh ditetapkan,” katanya. – UTUSAN










