Rumah peranakan jadi titik temu tiga perayaan

Rumah peranakan jadi titik temu tiga perayaan

GOH Hui Ling (belakang, empat dari kanan) bersama sebahagian anak, menantu, dan cucu yang  berbagai agama dan bangsa di kediaman mereka di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Di sebuah rumah sederhana di Indera Mahkota di sini, tiga perayaan utama negara diraikan dalam satu keluarga tanpa mengira kaum dan agama, menjadikan kediaman itu simbol perpaduan sebenar.

Segalanya bermula daripada seorang ibu berusia 95 tahun, Goh Hui Ling, yang menyaksikan lima daripada 10 anaknya memilih memeluk Islam manakala sebahagian lain beragama Kristian, namun hubungan kekeluargaan terus utuh tanpa pernah terpisah.

Bagi keluarga besar itu, Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan Krismas bukan sekadar tarikh dalam kalendar, sebaliknya peluang menyatukan 28 cucu serta 31 cicit daripada pelbagai latar belakang budaya.

Hui Ling yang kini berkerusi roda selepas diserang angin ahmar lebih sedekad lalu berkata, setiap musim perayaan membawa makna mendalam kerana semua anaknya yang berusia antara 52 tahun hingga 74 tahun pulang berkumpul.

“Rumah  jadi penuh dan riuh. Itu saat yang paling saya tunggu,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya.

Wanita kelahiran Rompin itu berkata, sejak muda dia dibesarkan dalam persekitaran yang lebih banyak menggunakan bahasa Melayu berbanding Mandarin, sekali gus memudahkan keluarganya menyesuaikan diri dalam masyarakat majmuk.

Katanya, anak-anaknya berkahwin dengan pasangan daripada pelbagai kaum termasuk Melayu dan India, serta berbeza pegangan agama.

“Itu pilihan hidup mereka. Sebagai ibu, saya hanya mahu mereka saling menghormati dan bahagia,” ujarnya.

Dalam keluarga tersebut, menu perayaan juga mencerminkan kepelbagaian. Ketika makan besar Tahun Baharu Cina, juadah seperti nasi minyak, ayam masak merah, laksa lemak dan nasi dagang menjadi hidangan utama, manakala kuih bakul dihidangkan kepada tetamu.

Apabila tiba Aidilfitri, lemang dan ketupat pula menggantikan hidangan, sementara sambutan Krismas diraikan dalam suasana sederhana bersama ahli keluarga yang beragama Kristian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN