PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang melakukan proses pemulihan aset membabitkan seorang presiden merangkap pengarah urusan sebuah bank yang dipercayai menerima suapan berjumlah RM8 juta.
Menurut sumber, hasil wang rasuah diterima, individu terbabit telah membeli aset di United Kingdom (UK), Singapura dan Australia.
“Aset itu dibeli menggunakan wang suapan selepas meluluskan pinjaman RM400 juta yang dimohon bekas pengarah syarikat bergelar Datuk pada 2012.
“Akibat kelulusan pinjaman terbabit, bank itu mengalami kerugian apabila syarikat terbabit gagal membayar semula pinjaman itu,” katanya di sini hari ini.
Kata sumber, proses pemulihan aset itu dilakukan dengan kerjasama agensi luar negara.
Dalam pada itu katanya, kegiatan penipuan bagi meluluskan pinjaman ini dilakukan bekas pengarah syarikat terbabit bersama seorang lagi individu dipercayai kini berada di Australia.
Selain itu, terdapat penglibatan bersama pengarah urusan kumpulan sebuah bank yang sudah meninggal dunia di UK.
“Siasatan juga mendapati ada syarikat teknologi maklumat (IT) yang tersenarai di bursa saham turut terbabit dalam penipuan ini.
“Sebab itu, pinjaman bank sebanyak RM400 juta itu berjaya lulus kerana menggunakan justifikasi syarikat IT yang tersenarai di bursa saham,” jelasnya.
Kata sumber, wang pinjaman RM400 juta yang diluluskan bank itu kemudian ada yang disembunyikan di akaun pesisir pantai beberapa negara sebelum dilabur semula bagi mewujudkan syarikat penipuan pelaburan.
Jelasnya, pinjaman itu dilakukan konon untuk sebuah projek pembangunan rangkaian gentian optik yang dikatakan bernilai lebih RM23 bilion.
“Kononnya projek itu bakal menghubungkan Asia Tenggara dengan lebih 30,000 kilometer gentian optik namun sehingga kini projek terbabit tidak berjalan.
“Projek itu dikatakan bermula pada Mei 2012 selepas mendapat kelulusan pinjaman RM400 juta itu bagi membiayai projek gentian optik terbabit namun sebaliknya wang itu dikatakan diseleweng dan tidak digunakan sepenuhnya untuk projek terbabit,” ujarnya.
Kata sumber, perbuatan kesemua individu terbongkar selepas pihak bank memfailkan saman sivil ke atas 27 individu termasuk suspek yang ditahan SPRM atas penggubahan wang haram terbabit.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan sedang melakukan proses pemulihan aset membabitkan wang suapan RM8 juta itu namun enggan mengulas lanjut.
Semalam media melaporkan, ahli perniagaan yang juga bekas Pengarah Urusan Syarikat V Telecoms Berhad, Datuk Ranjeet Singh Sidhu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memberi suapan RM8 juta kepada bekas presiden sebuah bank 14 tahun lalu.
Ranjeet, 56, didakwa memberi suapan itu kepada bekas presiden dan pengarah urusan bank berkenaan melalui seorang individu sebagai upah untuk membantu meluluskan permohonan pinjaman RM400 juta oleh Syarikat V Telecoms Berhad.
Pinjaman itu bagi membiayai projek pembangunan rangkaian gentian optik pesisir pantai yang merangkumi keseluruhan Semenanjung Malaysia. – UTUSAN










