PETALING JAYA: Bulan Ramadan yang disambut dengan ibadah dan ketenangan oleh majoriti umat Islam bakal menjadi detik getir buat penduduk Palestin.
Ini kerana media Israel melaporkan, negara haram itu menganggap Ramadan waktu sesuai untuk melancarkan serangan terhadap umat Islam Palestin yang tidak berdaya.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Haikal Zulkefli berkata, Israel dipercayai sedang membuat persiapan rapi bagi melancarkan serangan ke atas bumi Gaza.
“Kita dapat maklumat daripada berita-berita milik Israel bahawa bulan Ramadan adalah waktu tuntuk mereka menyerang penduduk Palestin dan sebenarnya mereka sedang bersedia untuk menghadapi perkara tersebut di bumi Gaza pada ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, dianggarkan kira-kira dua juta penduduk Gaza berada dalam kelaparan dengan mengharapkan makanan atau bahan mentah dihantar dari luar.
Setakat ini, katanya, hanya satu pertiga daripada keperluan makanan dan bahan mentah berjaya dipenuhi atas faktor kekangan operasi dan sekatan pergerakan di sempadan Gaza.
“Purata lori bantuan yang dibenarkan masuk kini hanya sekitar 200 daripada 600 lori, mengakibatkan bekalan makanan sukar disampaikan terutama di utara Gaza,” katanya.
Tambah Jismi, sejak Oktober lalu lebih 500 penduduk Palestin syahid akibat serangan berterusan oleh tentera Israel walaupun gencatan senjata telah diumumkan sebelum ini.
Katanya, menjelang Ramadan ini isu masalah air bersih juga kritikal kerana penduduk terpaksa mengharapkan lori tangki, manakala telaga dan perigi yang digali masih terdedah pencemaran kumbahan.
“Pencemaran itu menyebabkan penyakit berjangkit termasuk kolera, disentri, tifoid, kencing tikus serta penyakit kulit dan mata, memberi tekanan tambahan terhadap sistem kesihatan Gaza sepanjang Ramadan ini.
“Oleh itu Ramadan kali ini, Mahar diamanahkan melaksanakan bantuan Kasih Johor Palestin 3.0, dengan sumbangan rakyat Johor disalurkan melalui Dapur Kasih Johor ke beberapa kawasan di Gaza untuk menyediakan makanan bermasak bagi berbuka dan sahur buat rakyat Palestin,” katanya.-UTUSAN










