Raja Muda Selangor santuni penghuni Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Raja Muda Selangor santuni penghuni Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

TENGKU Amir Shah berkenan menyantuni dan menceriakan anak-anak yatim Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (RAYSSAAS) sempena Ramadan di Pantai Puteri, Melaka, hari ini. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah meneruskan tradisi menyantuni golongan memerlukan dengan berangkat ke Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (RAYSSAAS) sempena Ramadan di Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Pada majlis anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) itu, baginda mengurniakan sumbangan duit raya berjumlah RM9,300 dan set kain pelikat kepada 31 anak yatim sebagai persediaan awal menjelang Aidilfitri.

Baginda turut mengurniakan 100 kilogram beras bagi kegunaan penghuni rumah anak yatim berkenaan sepanjang Ramadan ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Raja Muda Selangor ke rumah kebajikan yang dibangunkan nendanya, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu, bagidna disambut Pengerusi YIDE, Tan Sri Mazlan Mansor, bersama pegawai yayasan dan pengurusan RAYSSAAS.

Yang hadir sama, Timbalan Mufti Selangor, Miszairi Sitiris; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad serta pengurusan rumah anak yatim itu.

Mazlan berkata, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu persiapan anak yatim menyambut Aidilfitri serta menceriakan mereka sepanjang menjalani ibadah puasa.

“Program ini menjadi wadah kebersamaan antara YIDE dan penyumbang demi kelangsungan kebajikan anak yatim dan golongan memerlukan di Selangor serta Melaka.

“YIDE memperuntukkan RM1.8 juta tahun ini untuk diagihkan kepada lebih 12,000 anak yatim yang berdaftar di bawah yayasan, dengan agihan dibuat secara berperingkat di beberapa lokasi di Selangor dan Melaka,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN