Pusat beli-belah ala Hong Kong digempur imigresen

Pusat beli-belah ala Hong Kong digempur imigresen

Imigresen
ANGGOTA penguatkuasa Imigresen sedang melakukan pemeriksaan pada Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia, di Sunway Velocity, di sini hari ini - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat beli-belah terkenal di Cheras yang menempatkan deretan premis makanan seolah-olah di Hong Kong digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi penguatkuasaan malam tadi.

Tinjauan Utusan Malaysia dalam operasi bermula pukul 8 malam itu mendapati tiada papan tanda Bahasa Melayu dipamerkan di beberapa premis makanan sekali gus menjadikan kawasan berkenaan menjadi tumpuan warga asing termasuk dari China.

Selain itu, terdapat pelancong yang dikesan tidak membawa pasport ketika berada di pusat beli-belah berkenaan memandangkan premis tersebut terletak dalam satu bangunan hotel.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suasana di lokasi operasi bertukar tegang apabila pegawai imigresen melakukan pemeriksaan mengejut terhadap pekerja manakala sebahagian pengunjung dilihat keliru serta gagal berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau Inggeris.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 152 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Selera dan Op Sapu itu.

“Seramai 890 individu telah diperiksa melibatkan 458 warga asing dan 432 warga tempatan menerusi operasi selama lebih dua jam.

“Daripada jumlah itu, 152 warga asing berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya dalam sidang akbar selepas operasi berkenaan dijalankan.

Katanya, mereka ditahan terdiri seramai 82 lelaki dan 70 wanita dan tangkapan tertinggi membabitkan warga Myanmar dengan seramai 63 lelaki dan 31 wanita, diikuti China iaitu 24 lelaki dan 16 wanita selain Indonesia (enam wanita), Bangladesh (dua lelaki) serta 10 individu lain-lain kewarganegaraaan.

“Operasi dijalankan adalah hasil risikan selama seminggu di lokasi berkenaan selepas mendapat aduan daripada orang ramai mengenai kehadiran ramai warga asing yang bekerja di premis menjual makanan di pusat membeli-belah itu.

“Antara kesalahan utama yang dikenal pasti termasuk ketiadaan dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan pemegang kad yang tidak diiktiraf di bawah Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Lokman Effendi turut memberi amaran kepada majikan agar tidak mengambil pekerja warga asing yang tidak mempunyai permit sah.

“Mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,”ujarnya.

Mengulas dakwaan kononnya terdapat warga asing tertentu kebal daripada tindakan undang-undang, Lokman menegaskan JIM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang.

“Tindakan Imigresen jelas, sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen dan pasport akan ditahan dan diambil tindakan tanpa mengira kewarganegaraan,” katanya.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN