Purata 60 kes kebakaran dilaporkan setiap hari - Utusan Malaysia

Purata 60 kes kebakaran dilaporkan setiap hari

SAYANI Saidon (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci jentera bomba kompak atau Compact Fire Rescue Tender (CFRT) kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong, Muhammad Shukur Jamaludin (dua dari kiri) selepas Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Purata 60 panggilan kecemasan berkaitan kebakaran diterima sehari oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sejak seminggu lalu susulan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini.

Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, daripada jumlah tersebut, kira-kira 40 peratus atau sekitar 24 kes melibatkan kebakaran terbuka, khususnya membabitkan lalang.

“Biasanya kebakaran terbuka melibatkan lalang dengan keluasan antara 0.4 hingga 0.8 hektar namun kebelakangan ini, terdapat kes yang melibatkan kawasan sehingga dua hektar.

“Keadaan ini amat membimbangkan sekiranya tidak dapat dikawal. Justeru itu, orang awam dinasihatkan supaya mengelakkan pembakaran terbuka ketika ini, khususnya di kebun dan kawasan perladangan kerana cuaca panas dan kering boleh menyebabkan api merebak dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2026 di Dewan Premier Dato Sri Ts Mohammad Hamdan di Ibu Pejabat JBPM Perak di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Menurut beliau, kawasan panas kebakaran biasanya tertumpu di kawasan terbuka dan perladangan, terutama apabila ada pihak yang melakukan pembakaran bagi membersihkan kebun.

Malah katanya, tapak pelupusan sampah merupakan antara lokasi berisiko kebakaran berikutan kawasan yang luas dan tahap pemantauan terhad selain aktiviti individu yang mencetuskan kebakaran bagi mencari barangan kitar semula untuk dijual.

“Kita perlu ingat apabila berlaku kebakaran di tapak pelupusan sampah, proses untuk pemadaman sepenuhnya itu mengambil masa yang panjang.

“Antara puncanya ialah keluasan kawasan, lokasi yang jauh dan ketiadaan sumber air terbuka, menyebabkan tempoh pemadaman dilanjutkan sekali gus meningkatkan risiko dan pencemaran,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Sayani menasihati orang ramai supaya lebih peka dan tidak melakukan pembakaran terbuka, bagi mengelakkan risiko kebakaran merebak dan membahayakan keselamatan awam.

Katanya, ibu bapa atau penjaga juga diingatkan agar memantau anak-anak daripada bermain dengan punca api yang boleh menyebabkan kebakaran.

“Kita minta supaya masyarakat agar sama-sama cakna dan janganlah buat pembakaran terbuka. Kalau perlu sangat pun jaga dan tunggu bukannya bakar dan tinggal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN