BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berhubung isu kekurangan bekalan udang khususnya udang putih di pasaran menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, Selasa depan.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, bagaimanapun, pihaknya memberi amaran awal kepada peniaga atau penjual yang terlibat supaya tidak menjadikan isu kekurangan bekalan tersebut sebagai alasan untuk menaikkan harga udang putih dengan sewenang-wenangnya.
“Udang putih termasuk dalam senarai barangan kawalan dan harga yang ditetapkan pula adalah mengikut kategori serta saiz. Jadi, jika harga yang dikenakan itu tidak munasabah atau melebihi harga kawalan, maka, mereka (pengguna) boleh menyalurkan aduan secara rasmi kepada KPDN.
“Pada masa yang sama, KPDN juga ingin menggalakkan orang ramai supaya menggunakan aplikasi Price Catcher bagi membuat perbandingan harga dalam radius tertentu sebelum membuat pembelian termasuk melibatkan barang kawalan ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita semasa sesi ‘walkabout’ dan pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 peringkat negeri yang melibatkan 15 barangan kawalan selama sembilan hari bermula hari ini di sebuah pasar raya di sini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, permintaan terhadap udang khususnya udang putih bersaiz besar dilaporkan meningkat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, namun, bekalan makanan laut itu khususnya di kawasan perairan selatan Pulau Pinang semakin berkurangan.
Situasi tersebut menyebabkan ada dalam kalangan nelayan bimbang akan berlaku kenaikan harga udang di pasaran sepanjang musim perayaan ini.
Dalam perkembangan lain, Jegan memberitahu, KPDN telah memeriksa sebanyak 10,555 premis perniagaan di seluruh Pulau Pinang bermula 1 Januari hingga semalam dan daripada jumlah itu, 171 kes telah dikesan serta diambil tindakan.
Katanya, tindakan tersebut melibatkan sitaan yang dianggarkan bernilai RM857,796.13 serta kompaun yang berjumlah RM36,500.
“Selain itu, KPDN turut menerima sebanyak 359 aduan bagi tempoh yang sama iaitu 77 berkaitan harga barang, 27 aduan mengenai bekalan barang kawalan, 86 aduan berkaitan transaksi dalam talian serta 169 melibatkan lain-lain aduan,” ujar beliau.-UTUSAN










