MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka memperketatkan pemeriksaan keselamatan ke atas semua kenderaan pengangkutan awam menjelang sambutan Tahun Baharu Cina 2026 dengan mewajibkan setiap bas dan bas ekspres menjalani pemeriksaan menyeluruh di depoh pemeriksaan sebelum dibenarkan beroperasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, langkah itu merupakan usaha pencegahan awal bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan berada pada tahap terbaik sebelum membawa penumpang sepanjang musim cuti Tahun Baharu Cina.
Menurut beliau, pemeriksaan di depoh penting untuk memastikan setiap kenderaan berada dalam keadaan selamat dan mematuhi spesifikasi ditetapkan sebelum membawa penumpang.
“Pemeriksaan merangkumi aspek teknikal utama termasuk sistem brek, tayar, enjin, peranti had laju serta sistem pengesanan global (GPS) yang menjadi elemen kritikal dalam keselamatan pengangkutan awam.
“Kita tidak mahu sebarang kompromi terhadap keselamatan kerana melibatkan nyawa pengguna jalan raya,” katanya selepas melancarkan Operasi Khas Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Menurutnya, pra-operasi pemeriksaan dilaksanakan bermula 9 hingga 12 Februari, manakala operasi penguatkuasaan penuh akan dijalankan dari 13 hingga 22 Februari melibatkan penugasan anggota di depoh pemeriksaan, terminal bas, kawasan rehat dan rawat (R&R) serta lokasi strategik lain di seluruh negeri. – UTUSAN










