PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam keras tindakan polis menahan 22 penduduk Orang Asli Kampung Jemeri, Kuala Rompin, Pahang, hari ini, ketika mereka mempertahankan hak tanah adat daripada pencerobohan pihak luar.
Ahli Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim PSM, Aein Aneera berkata, kesemua individu terbabit ditahan selepas menghalang sebuah syarikat swasta yang didakwa mencerobohi tanah adat serta mengambil hasil sawit milik penduduk kampung.
Menurut beliau, penahanan melibatkan 18 wanita dan empat lelaki itu dilakukan secara tidak adil.
Beliau berkata, telefon bimbit penduduk turut dirampas dan pihak keluarga tidak dimaklumkan mengenai keberadaan mereka selepas ditahan.
“Setakat petang ini, kesemua mereka masih berada dalam tahanan dan belum ada sebarang maklumat rasmi berhubung status mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aein berkata, syarikat swasta terbabit turut didakwa secara tidak sah meletakkan penghalang besi di kawasan komuniti Orang Asli Kampung Jemeri serta menghalang penduduk menjalankan aktiviti harian di kawasan yang menjadi sumber ekonomi utama mereka.
Beliau berkata, tindakan pencerobohan berkenaan bukan sahaja melanggar hak masyarakat Orang Asli terhadap tanah adat, malah berpotensi menjejaskan pendapatan dan kelangsungan hidup penduduk kampung dalam jangka panjang.
“Hak Orang Asli terhadap tanah adat sepatutnya dilindungi dan dihormati, bukannya dinafikan.
“Namun, dalam kes ini, hak berkenaan didakwa terus diancam oleh pihak syarikat swasta dan diburukkan lagi dengan penahanan penduduk kampung,” katanya.
Sehubungan itu, PSM menuntut pembebasan segera kesemua 22 penduduk Orang Asli Kampung Jemeri yang ditahan dan menegaskan bahawa masyarakat Orang Asli berhak mempertahankan tanah adat mereka.
“Pihak penguat kuasa sepatutnya memainkan peranan memastikan tanah adat Orang Asli dipelihara dan tidak dicerobohi oleh mana-mana pihak,” katanya. – UTUSAN










