PSM persoal arahan tangkapan Arutchelvan

PSM persoal arahan tangkapan Arutchelvan

ayer kuning
Arutchelvan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempersoalkan tindakan polis menahan Timbalan Pengerusinya, S. Arutchelvan, walaupun beliau sudah memberi kerjasama penuh dalam siasatan berhubung perhimpunan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) pada 13 Ogos lalu.

Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS berkata, Arutchelvan sebelum ini telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 14 Ogos lalu untuk disoal siasat berhubung dakwaan berlaku pergelutan ketika penyerahan memorandum draf Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang di hadapan Parlimen.

Menurut beliau, pihak polis memaklumkan bahawa arahan tangkapan datang daripada pihak atasan dan bukan daripada pegawai penyiasat asal.

“Arul sudah menjawab lebih 40 soalan, 14 saksi turut dipanggil, malah gambar serta video juga telah ditunjukkan pihak polis. Siasatan sudah lengkap, jadi tiada alasan untuk menahan beliau lima hari kemudian.

“Kedua-dua seksyen yang digunakan iaitu Seksyen 353 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan hanyalah kesalahan boleh tangkap, bukan wajib tangkap. Hukuman maksimum pun hanya dua tahun penjara atau denda. 

“Tindakan ini jelas menimbulkan persoalan sama ada berlaku salah guna kuasa,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PSM, di sini hari ini.

Pada 13 Ogos lalu, PSM bersama lebih 300 pekerja ladang berhimpun di Tugu Negara sebelum berarak ke Parlimen untuk menyerahkan draf Akta Skim Perumahan Pekerja Ladang yang digubal oleh JSML.

Memorandum tersebut diterima oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dan wakil pembangkang yang juga ketua whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan yang memberi jaminan akan membawanya ke Parlimen.

Namun, pada malam yang sama, Arutchelvan dipanggil polis ke IPK Kuala Lumpur selepas laporan dibuat oleh seorang anggota polis yang mendakwa cedera dalam insiden itu. Beliau kemudian hadir ke IPD Dang Wangi pada keesokannya, disoal siasat dan dibenarkan pulang.

Sementara itu, Arutchelvan berkata, beliau hairan mengapa tangkapan mahu dilakukan selepas lima hari, sedangkan ia boleh dibuat lebih awal jika benar ada keperluan.

“Saya sudah beri kerjasama penuh sejak 14 Ogos. Kalau ada pertuduhan, saya sedia ke mahkamah. Tetapi jangan salah guna kuasa untuk menekan rakyat. Ini juga menjejaskan hak berhimpun secara aman seperti dijamin Perlembagaan.

“Selepas menghadiri mesyuarat di Negeri Sembilan, saya akan menyerah diri di IPD Dang Wangi pada pukul 6 petang ini bersama peguam,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN