PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd. (Proton) menyasarkan jualan kenderaan meningkat kepada 500,000 unit setahun menjelang 2035, selaras pelan pertumbuhan jangka panjang syarikat bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Pelan strategik 3.0 | Plans for the Next 5 to 10 Years syarikat itu menetapkan sasaran jualan berperingkat, iaitu 200,000 unit pada 2026 dan 330,000 unit pada 2030, sebagai tonggak utama pencapaian syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, sasaran itu mencerminkan keyakinan syarikat terhadap perancangan strategik, platform teknologi dan keupayaan organisasi untuk berkembang secara mampan.
“Tahun ini sasaran kami adalah 200,000 unit. Ini menjadi asas penting sebelum Proton bergerak ke tahap seterusnya dalam pelan jangka panjang kami.
“Pencapaian jualan 200,000 unit ini akan menjadi fasa pencapaian baharu sebelum Proton mempercepatkan pertumbuhan ke arah jumlah yang lebih tinggi dalam dekad akan datang,” katanya.
Selain itu, menurut pembentangan syarikat, Proton merancang meningkatkan jualan kepada 330,000 unit menjelang 2030 melalui pelaksanaan Initiative 3030 Double Up Plan.
Pelan berkenaan menumpukan empat teras utama iaitu peningkatan jualan, penembusan kenderaan elektrifikasi, pengembangan eksport, dan peluasan pasaran antarabangsa.
Bagi menyokong sasaran itu, Proton memperincikan pembangunan tiga platform utama, GMA, AMA dan X-Series yang menjadi asas kepada barisan produk sedia ada dan masa depan.
Empat hala tuju teknologi juga digariskan, merangkumi enjin pembakaran dalam (ICE), elektrik hibrid (HEV), elektrik hibrid plug-in (PHEV) dan elektrik berasaskan bateri (BEV), sejajar perubahan landskap industri automotif global.
Bagi aspek elektrifikasi, syarikat menyasarkan 30 peratus penembusan kenderaan elektrifikasi menjelang 2030, selain menetapkan eksport menyumbang 30 peratus jualan, termasuk ke lebih 30 negara.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Rashid Musa berkata, sasaran jualan yang lebih tinggi itu turut disokong oleh pelaburan berterusan dalam pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Perak.
“Di AHTV, terdapat 10 program baharu yang akan dilaksanakan, termasuk pembangunan kilang EV baharu, kilang enjin, peningkatan kapasiti ‘stamping’ serta pelbagai inisiatif lain untuk menyokong pertumbuhan Proton.
“Proton juga telah melaburkan kira-kira RM5 bilion sejak 2017, dengan lebih banyak program pelaburan akan dilaksanakan dalam tempoh akan datang.
“Selain itu, Proton turut meningkatkan perolehan komponen tempatan daripada RM3.5 bilion kepada RM4 bilion pada 2025, dengan sasaran meningkat kepada RM8 bilion menjelang 2030.
“Proton akan terus aktif membangunkan ekosistem automotif kebangsaan melalui penggunaan teknologi baharu dan penglibatan vendor tempatan,” ujarnya. – UTUSAN









