Program Wakaf al-Quran: Cadang laksana skim potongan gaji sukarela

Program Wakaf al-Quran: Cadang laksana skim potongan gaji sukarela

AHMAD Zahid Hamidi merasmikan Program Wakaf Al-Quran Ke-19 Peringkat Kebangsaan 2026. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pelaksanaan Skim Potongan Gaji (SPG) secara sukarela melibatkan kakitangan kerajaan, badan berkanun serta sektor swasta bagi memastikan kelangsungan dan peluasan Program Wakaf al-Quran.

Beliau berkata, menerusi skim ini, sumbangan kecil yang dilakukan secara konsisten mampu membina impak besar dengan wakaf boleh diniatkan untuk diri sendiri, ahli keluarga atau dihadiahkan pahalanya kepada ibu bapa dan insan tersayang yang telah kembali ke rahmatullah.

Menurutnya, pelbagai kaedah disediakan bagi memudahkan masyarakat untuk berwakaf mengikut kemampuan masing-masing, sama ada melalui wakaf tunai, imbasan kod DuitNow, wakaf bulanan secara potongan akaun dengan kadar seikhlasnya, mahupun menerusi platform digital seperti ToyyibPay.

“Dan hari ini akan diusahakan supaya pemotongan gaji dapat dilakukan bukan hanya kepada pegawai-pegawai kerajaan, tetapi juga kepada para eksekutif dan juga pekerja di sektor swasta.

“Saya harap pihak Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad) yang akan menguruskan pemotongan gaji ini tidak mengenakan sebarang bayaran kepada Nasyrul Quran,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Wakaf Al-Quran Ke-19 Peringkat Kebangsaan 2026 di Nasyrul Quran hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga penaung Program Wakaf al-Quran Peringkat Kebangsaan turut meminta ahli koperasi di seluruh negara menyalurkan sumbangan melalui Angkasa bagi memperbanyakkan lagi wakaf al-Quran, selaras dengan sasaran memperluas pengedaran mushaf ke peringkat antarabangsa.

Katanya, ini kerana, program wakaf al-Quran bukan sekadar tertumpu kepada penghasilan mushaf, malah merangkumi usaha menterjemahkan al-Quran ke dalam 30 bahasa untuk diedarkan ke negara-negara yang mempunyai populasi umat Islam minoriti.

“Pengedaran al-Quran ini akan dihantar ke negara-negara yang umat Islamnya berada dalam kelompok minoriti, supaya mereka turut mendapat akses kepada mushaf al-Quran yang sempurna,” katanya.

Program wakaf al-Quran memasuki tahun ke-19 pelaksanaan sejak diperkenalkan pada 2007 yang berteraskan konsep sedekah jariah bertujuan memperluas agihan mushaf al-Quran kepada golongan minoriti Muslim di luar negara, serta masyarakat kurang berkemampuan di dalam negara agar mereka dapat memiliki, membaca, mempelajari dan menghayati al-Quran secara berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN