Polis nasihat penumpang elak bawa bagasi orang tidak dikenali di lapangan terbang

Polis nasihat penumpang elak bawa bagasi orang tidak dikenali di lapangan terbang

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membantu membawa bagasi milik individu yang tidak dikenali bagi mengelakkan risiko keselamatan serta menjadi mangsa keadaan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, nasihat itu dikeluarkan susulan insiden tular di media sosial berkaitan tindakan dua individu yang meminta bantuan penumpang lain membawa bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA Terminal 2) baru-baru ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, individu berkenaan dikesan memohon bantuan membawa bagasi mereka untuk melepasi kaunter pemeriksaan di Pintu Pelepasan KLIA Terminal 2 pada 9 Februari lalu.

“Setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Siasatan mendapati dua individu warga tempatan itu cuba meminta penumpang lain yang tidak dikenali membawa bagasi milik mereka untuk melepasi kaunter pelepasan bagi mengelakkan dikenakan caj tambahan lebihan bagasi.

“Bagasi tersebut didapati telah melepasi had berat maksimum bagasi tangan (hand carry) yang ditetapkan oleh kakitangan penerbangan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, hasil imbasan keselamatan yang dijalankan oleh anggota keselamatan mendapati semua bagasi terbabit tidak mengandungi sebarang barangan salah atau bahan terlarang.

Ravi berkata, tiada sebarang kesalahan jenayah berlaku dalam kejadian ini bagaimanapun, tindakan meminta bantuan orang yang tidak dikenali untuk membawa bagasi boleh menimbulkan kegusaran awam dan risiko keselamatan.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mengambil risiko dengan membawa barangan milik individu lain walaupun atas alasan membantu.

“Dalam pada itu, penumpang turut digesa merancang perjalanan dengan lebih teliti termasuk memastikan berat bagasi tidak melebihi had ditetapkan bagi mengelakkan dikenakan caj tambahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN