PM hadir beri penghormatan terakhir kepada Tun Abdul Hamid Mohamad

PM hadir beri penghormatan terakhir kepada Tun Abdul Hamid Mohamad

ANWAR Ibrahim hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad di Musolla Taman Selatan Presint 20, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa bagi memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Abdul Hamid Mohamad.

Beliau tiba kira-kira 4.50 petang tadi hadir di Musolla Taman Selatan Presint 20, di sini dan menunaikan solat Asar yang diimamkan oleh peguam, Datuk Zulkifli Noordin.

Selain itu, turut hadir Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin, serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

Memuatkan artikel berkaitan…

Solat jenazah diimamkan oleh Imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Ustaz Rafuwan Putra Affendi serta dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga, sahabat dan kenalan Allahyarham.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 84 tahun di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), tengah hari tadi.

Anak perempuan Allahyarham, Murni Abdul Hamid berkata, bapanya telah dimasukkan ke HUKM sejak 9 Feb lepas dan meninggal kerana sakit tua di samping isteri Toh Puan Hamidah Choong Abdullah dan anak-anak.

Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada Disember 2007 hingga Oktober 2008. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×