Pilihan raya PBT: Sanusi minta kenang semula peristiwa hitam negara

Pilihan raya PBT: Sanusi minta kenang semula peristiwa hitam negara

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Usaha menghidupkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) berpotensi mencetuskan ketidakseimbangan kuasa dan membawa risiko besar kepada kestabilan negara, jika tidak diawasi dengan teliti.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, hanya penduduk yang tinggal dalam kawasan pentadbiran sesuatu PBT layak mengundi, sekali gus berpotensi menyebabkan sesuatu kaum mendominasi pemilihan ahli majlis dan dasar yang digubal.

“Di Kuala Lumpur, siapa yang tinggal di bawah pentadbiran DBKL? Berapa peratus Cina, India dan Melayu? Orang Melayu yang tinggal di luar Kuala Lumpur tidak boleh mengundi. Akhirnya satu kaum yang menjadi majoriti akan menentukan ahli-ahli majlis dan dasar PBT.

“Kalau berlaku pilihan raya PBT, orang dalam kawasan PBT itu sahaja boleh mengundi, maka kaum tertentu sahaja akan jadi ahli majlis, memelihara kepentingan mereka atau apa sahaja agenda, sebab itu bahaya,” katanya ketika berucap pada satu program di Kaherah, Mesir, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, situasi sama boleh berlaku di bandar utama lain seperti Ipoh, Georgetown dan Alor Setar, sekali gus membuka ruang kepada dasar serta undang-undang kecil PBT yang berpihak kepada kelompok tertentu.

Beliau turut mengingatkan agar sejarah hitam negara dijadikan iktibar, khususnya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang antara lain didakwa berpunca daripada pilihan raya kerajaan tempatan yang diamalkan ketika itu.

Ujarnya, selepas peristiwa itu, pilihan raya PBT telah ditiadakan dan ahli-ahli majlis dilantik oleh kerajaan negeri bagi memastikan keseimbangan kaum dan kepentingan awam terus terpelihara.

“Daripada 24 ahli majlis, sebahagian adalah ex officio seperti pegawai kerajaan dan ketua jabatan, manakala selebihnya dilantik daripada parti-parti yang membentuk kerajaan negeri. Sistem ini tidak memerlukan pilihan raya atau mengundi,” katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, cadangan mengadakan pilihan raya PBT perlu diperhalusi sebelum kerajaan membuat keputusan besar kerana tindakan itu ibarat mengamalkan siasah politik cari makan untuk kepentingan pihak tertentu.

Menurutnya, cadangan itu merupakan cita-cita lama DAP dan kini dibangkitkan semula selepas pemimpin mereka memegang portfolio itu di peringkat Persekutuan, termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Menteri Wilayah Persekutuan.

“Pemimpin yang ada di Putrajaya hari ini mungkin beramal dengan siasah politik cari makan. Mereka dapat kuasa yang mereka mahukan, tetapi ada satu kelompok dalam gerombolan itu dipimpin oleh DAP, mendapat apa yang mereka kehendaki tanpa perlu bersuara, kerana parti-parti lain menjadi jenteranya,” katanya.

Pada 1 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan satu kajian sedang dijalankan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak Disember lalu berhubung pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN