KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hanya sesuai diadakan jika keadaan politik negara kembali stabil.
Ia sekali gus menjelaskan sekarang bukan masa yang sesuai untuk melaksanakan pilihan raya berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden pertama Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSJ), Datuk Noh Abdullah berkata, politik hari ini berbeza dengan kerajaan terdahulu yang hanya dikuasai UMNO.
Maka, menurut beliau, kata putus menggubal undang-undang negeri dicapai oleh 21 lantikan ahli majlis di mana kesemuanya daripada parti yang sama.
Kata Noh, dengan kekuatan yang ada pada sesebuah parti di setiap negeri, ia mengukuhkan kuasanya di setiap PBT, maka undang-undang berkaitan di negeri berkenaan akan digubal ahli majlis yang dilantik.
“PBT adalah satu asas bagi negeri atau negara politik berdasarkan kepada kekuatan sesebuah parti politik. Cadangan mengadakan pilihan raya PBT itu bergantung kepada kedudukan politik, sebab Ahli Majlis dan presidennya (kini Datuk Bandar) akan dilantik oleh pengundi-pengundi politik.
“Kalau satu parti itu kuat dalam negerinya, maknanya orang itu akan dipilih menjadi ahli PBT,” katanya ketika ditemui semalam.
Beliau mengulas berhubung polemik isu Pilihan Raya PBT susulan cadangan dibawa DAP Wilayah Persekutuan yang mahu ia dikendalikan semula di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Cadangan itu dikemukakan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai susulan rombakan Kabinet baru-baru ini, yang menyaksikan pelantikan menteri bagi portfolio Wilayah Persekutuan.
Untuk rekod, Noh individu pertama dilantik sebagai presiden yang kini jawatan tersebut dikenali sebagai Datuk Bandar, di mana lantikan itu berada di bawah kuasa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). – UTUSAN










