KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang antara peserta Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang berlangsung di pekarangan Kompleks Membeli-Belah Sogo di sini hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya mengesahkan tangkapan melibatkan penganjur perhimpunan, Zamri Vinoth dan beberapa individu.
“Tiada sidang akhbar pada malam ini atas sebab beberapa tindakan lagi yang perlu dibuat.
“Saya cuma mahu sahkan tangkapan Zamri Vinoth bersama penama yang lain, namun saya akan rangkumkan makluman berkaitan semua ini dalam sidang akhbar pada esok (Ahad),” katanya ketika ditemui hari ini.
Antara individu lain yang ditahan adalah Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Halim dan pengamal undang-undang, Haniff Katri Abdulla.
Individu berkenaan dipercayai ditahan kerana disyaki pihak berkuasa sebagai peserta perhimpunan membantah rumah ibadat haram yang dirancang diadakan malam ini.
Mereka awalnya dilihat cuba melakukan provokasi ketika dihampiri anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan.
Difahamkan individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Polis sebelum ini memaklumkan pihaknya tidak membenarkan penganjuran Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram atas faktor keselamatan.
Fadil dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada beberapa pihak.
Media sebelum ini melaporkan satu himpunan tersebut bertujuan menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram di seluruh negara.
Himpunan yang dianjurkan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram itu disertai 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).-UTUSAN









