ARAU: Kes tuberkulosis (tibi) di Perlis masih terkawal dengan sebanyak 21 kes direkodkan dari Januari lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ghazali Chik berkata, pelbagai langkah pencegahan terus dilaksanakan termasuk advokasi di bazar Ramadan seluruh negeri ini bagi mengelak penularan.
Katanya, Jabatan Kesihatan negeri turut melaksanakan langkah kawalan secara berterusan melalui pejabat kesihatan daerah serta klinik kesihatan dalam memastikan penularan penyakit berjangkit itu dibendung.
“Jumlah kes semasa ketika ini masih terkawal dan kita memang sentiasa menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pejabat kesihatan daerah serta klinik kesihatan,” katanya di sini semalam.
Ghazali berkata, tibi merupakan penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria Mycobacterium Tuberculosis dan dapat merebak melalui udara khususnya apabila seseorang terdedah dalam tempoh lama dengan pesakit.
“Individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, penurunan berat badan dan kurang selera makan dinasihatkan supaya segera mendapatkan pemeriksaan di klinik kesihatan bagi menjalani ujian lanjut termasuk pemeriksaan kahak dan X-ray,” katanya.
Katanya, pengesanan awal dan rawatan segera amat penting bagi mengelakkan komplikasi serta mengurangkan risiko jangkitan khususnya kepada individu lain dalam komuniti.
“Kebanyakan kes jangkitan penyakit ini juga melibatkan kalangan golongan rentan seperti mereka yang mempunyai penyakit kronik, kencing manis dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN







