KANGAR: Cuaca panas yang menyaksikan Perlis hampir 40 hari tanpa hujan diramal tidak berterusan dengan negeri ini dijangka hujan bermula 11 hingga 14 Februari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Perlis, Mohd. Saharudi Saad berkata, model ramalan cuaca sedia ada tidak menunjukkan sebarang situasi kemarau berpanjangan di negeri ini biarpun cuaca panas melanda.
Katanya, berdasarkan bacaan model ramalan itu, terdapat luruan angin Timur dijangka masuk ke Semenanjung Malaysia yang akan membuatkan cuaca lembap bermula 11 hingga 14 Februari ini, dengan jangkaan hujan pada sebelah petang dalam tempoh tiga hari tersebut.
“Jika dilihat pada bulan Mac akan berakhir Monsun Timur Laut yang mana angin pada waktu itu lemah dari pelbagai arah dan memudahkan pembentukan awan ribut petir di kawasan pendalaman.
“Pada waktu itu, kita akan terima hujan pada sebelah petang hingga ke malam di sebelah pantai barat Semenanjung Malaysia termasuk Perlis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Saharudi berkata, Perlis telah merekodkan jumlah hari tanpa hujan selama 39 hari dan pada Jumaat lalu, hanya 2.2 milimeter (mm) hujan.
Katanya, dari Januari hingga Februari, suhu maksimum direkodkan di negeri ini pula adalah 36.5 darjah celcius.
“Jika dilihat purata jumlah hujan bulanan, Perlis paling kurang menerima taburan hujan pada bulan lalu seperti mana berlaku pada setiap tahun. Bulan Februari taburan hujan diramal akan meningkat antara 40-60mm dan Mac pula direkodkan pada 100-150mm,” katanya.
Katanya, buat masa ini, Jabatan Meteorologi belum menerima sebarang permohonan daripada kerajaan negeri bagi melakukan proses pembenihan awan di Perlis.
Beliau berkata, proses pembenihan awan juga kebiasaan dilaksanakan bagi menaikkan paras empangan air dan bukan untuk menghadapi cuaca panas.
“Pembenihan awan adalah mengikut keadaan cuaca dan kita akan analisa sama ada awan sesuai atau tidak sebelum melakukan proses tersebut,” katanya. – UTUSAN










