PETALING JAYA: Rakyat Malaysia diseru untuk menghormati semua agama, menjaga keharmonian masyarakat dan terus memperkukuhkan perpaduan negara ini.
Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P. Waytha Moorthy berkata, pihaknya memandang serius insiden melibatkan seorang remaja memijak al-Quran.
Kata beliau, perbuatan sedemikian adalah salah, tidak beradab, tidak bermoral dan memerlukan tindakan tegas.
Katanya, tindakan menghina kitab suci mana-mana agama bukan sahaja melukakan hati penganutnya, malah bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat yang menekankan hormat, kasih sayang dan saling memahami.
“MAP dan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) ingin menegaskan bahawa semua agama mengajar umatnya supaya menghormati kepercayaan orang lain dan menjauhi perbuatan yang boleh menimbulkan kebencian atau perpecahan.
“Oleh itu, perbuatan menghina kitab suci al-Quran adalah sesuatu yang harus ditolak oleh seluruh masyarakat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Media melaporkan, individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran di platform media sosialnya kelmarin, mengaku berbuat demikian dalam keadaan marah serta dipengaruhi perasaan dendam.
Waytha berkata, penganut agama lain perlu memahami dan menghormati penganut agama Islam yang sedang menjalani Ramadan.
“Dalam bulan yang mulia ini, umat Islam di Malaysia sedang menunaikan ibadah puasa, satu ibadah yang membina kesabaran, kesederhanaan, dan peningkatan nilai spiritual.
“Adalah penting bagi seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk memahami dan menghormati kepentingan bulan ini kepada rakan-rakan Muslim kita,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk memupuk semangat saling hormat-menghormati, menjaga tutur kata dan tindakan, serta hidup dalam suasana aman serta damai.
“Dengan menghormati agama dan kepercayaan antara satu sama lain, kita dapat terus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian yang menjadi asas kekuatan negara kita,” katanya. – UTUSAN











