Peranan Malaysia bantu konflik Thailand-Kemboja antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Peranan Malaysia bantu konflik Thailand-Kemboja antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peranan diplomasi Malaysia sebagai pemudah cara dalam konflik Thailand dan Kemboja, serta implikasinya terhadap kredibiliti negara di peringkat antarabangsa antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) mengemukakan soalan itu kepada Menteri Luar pada sesi soal jawab lisan sejurus sidang bermula pada 10 pagi ini.

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) meminta penjelasan berhubung status terkini dan tarikh rasmi pengoperasian sistem Automated Rapid Transit (ART) di Putrajaya memandangkan fasa rintisan telah dijalankan sebelum ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu turut bertanyakan mengenai perincian pelan peluasan jajaran fasa seterusnya bagi memastikan ketersambungan first and last-mile yang lebih efisien ke kompleks-kompleks Kerajaan dan stesen-stesen pengangkutan sedia ada bagi mengurangkan kesesakan trafik di pusat pentadbiran negara.

Sementara itu, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan tentang projek berimpak tinggi yang telah dan sedang dilaksanakan di seluruh negara termasuk skop, lokasi dan peruntukan masing-masing serta usaha kerajaan untuk program Keselamatan Makanan Negara.

Selepas sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura 2026 bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri.

Kemudian, ia disusuli sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh kementerian-kementerian berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN