IPOH: Kerajaan negeri akan mempertimbang tindakan undang-undang terhadap mana-mana wakil rakyat yang didapati ingkar terhadap larangan menyampaikan ucapan atau ceramah di masjid dan surau di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, penelitian lanjut perlu dibuat berhubung perkara itu memandangkan ketika ini kesalahan tersebut terletak di bawah tanggungjawab pengerusi dan jawatankuasa masjid.
“Yang itu (tindakan kepada wakil rakyat), kita perlu kaji kerana kesalahan diletakkan kepada pihak pengurusan masjid yang membenarkan individu terbabit berucap. Ini disebabkan ia di bawah tanggungjawab mereka.
“Jadi kalau difikirkan perlu untuk ambil tindakan terhadap individu terbabit, kita kena buat kajian kerana perlu ada undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja melanggar titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bantuan Sara Diri, Kecemasan dan Bantuan Baucar Buku Mahasiswa Perak Tahun 2026 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Saarani berkata demikian sebagai mengulas hantaran di Facebook oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib yang berucap di sebuah masjid di Bota, Parit selepas solat tarawih.
Menurut Saarani, mana-mana pihak yang masih berdegil dan melanggar titah Sultan Nazrin perlu bersedia berdepan sebarang tindakan susulan kesalahan berkenaan.
Beliau berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, beliau sendiri mematuhi pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berkaitan larangan itu yang selaras dengan titah baginda.
“Saya adalah Exco Agama Islam negeri, tapi saya tidak pernah buat dan mematuhi sepenuhnya titah baginda untuk orang politik tidak berucap di dalam surau atau masjid.
“Perkara ini saya telah ingatkan kepada semua wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang. Kalau masih ada orang yang ingin melanggari titah Tuanku, dia kena bersedia untuk menerima apa-apa tindakan,” katanya.
JAIPk dalam satu pekeliling pada 26 Oktober 2022 melarang sebarang aktiviti berbaur politik di masjid, Surau Diri Jumaat dan surau di negeri ini susulan titah Sultan Nazrin ketika Persidangan Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid Peringkat Negeri Perak pada 24 Oktober 2019.
Menurut pekeliling tersebut, larangan berkenaan bertujuan menjaga kemuliaan masjid, Surau Diri Jumaat dan surau. – UTUSAN










