PETALING JAYA: Kes penipuan pembelian dalam talian meningkat hampir 57 peratus pada Januari tahun ini dengan kerugian mencecah RM14.83 juta.
Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan, sebanyak 752 kes direkodkan pada Januari 2024 melibatkan kerugian RM6.46 juta sebelum meningkat kepada 878 kes bagi tempoh sama tahun berikutnya dengan kerugian RM6.13 juta.
Pengarah JSJK, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, secara keseluruhan sebanyak 23,022 kes penipuan pembelian dalam talian direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 2024 hingga Januari 2026 dengan jumlah kerugian mencecah RM215.4 juta.
Menurutnya, 7,662 kes direkodkan sepanjang 2024 melibatkan kerugian RM70,842,619.51 sebelum meningkat ketara kepada 13,979 kes pada 2025 dengan nilai kerugian melonjak kepada RM129,757,194.
“Bagi Januari 2026 sahaja, sebanyak 1,381 kes direkodkan dengan jumlah kerugian RM14,836,986.40, sekali gus mencerminkan trend peningkatan berterusan jenayah penipuan pembelian dalam talian di negara ini.
“Malah, nilai kerugian yang direkodkan adalah lebih dua kali ganda berbanding tempoh sebelumnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rusdi berkata, peningkatan permintaan terhadap pembelian dalam talian khususnya melibatkan barangan elektronik, fesyen, alat ganti serta keperluan harian dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada pertambahan kes penipuan e-dagang.
Katanya, sindiket mengambil kesempatan terhadap trend beli-belah digital yang semakin popular dengan memanfaatkan platform terbuka seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp dan Telegram bagi memaparkan iklan secara pantas tanpa kawalan ketat.
“Sindiket turut menggunakan identiti palsu, akaun media sosial sementara serta nombor telefon prabayar bagi mengelakkan pengesanan.
“Selain itu, penggunaan akaun keldai atau mule account sebagai medium menerima dan memindahkan wang hasil jenayah terus menjadi taktik utama bagi menyukarkan siasatan,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa lazimnya terpedaya dengan taktik psikologi seperti tawaran harga terlalu murah, promosi masa terhad serta desakan membuat deposit segera bagi mengelakkan peluang pembelian terlepas.
“Modus operandi paling kerap digunakan ketika ini masih melibatkan iklan barangan pada harga tidak munasabah yang dimuat naik di media sosial.
“Suspek menggunakan akaun palsu lengkap dengan gambar, testimoni serta ulasan rekaan bagi meyakinkan mangsa sebelum memujuk mereka membuat bayaran terus ke akaun individu dan bukannya akaun syarikat berdaftar,” jelasnya.
Tambah Rusdi, selepas bayaran dibuat, barangan tidak dihantar dan suspek akan menyekat komunikasi dengan mangsa.
“Dalam sesetengah kes, nombor penjejakan palsu diberikan atau mangsa dimaklumkan kononnya barangan ditahan dan memerlukan bayaran tambahan sebelum penghantaran boleh dibuat.
“JSJK melihat taktik ini kekal dominan kerana ia mudah dilaksanakan, melibatkan kos operasi rendah serta sukar dikesan sekiranya mangsa lambat membuat laporan kepada polis,” katanya. – UTUSAN










