PETALING JAYA: Penilai bebas sistem rel yang dilantik untuk menilai Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati sistem tersebut berfungsi seperti yang direka.
Malaysia Airports dalam kenyataan berkata, penilai tersebut mendapati gangguan perkhidmatan yang diperhatikan sejak mula beroperasi merupakan perkara lazim yang sering berlaku pada fasa awal operasi sistem rel yang kompleks.
Katanya, penilai turut menyatakan bahawa dengan kawalan kejuruteraan yang tersusun serta pemantauan berterusan, isu-isu ini tidak menimbulkan risiko keselamatan dan boleh diurus secara berkesan melalui amalan kejuruteraan serta penyelenggaraan yang berdisiplin.
“Sepanjang pelaksanaan Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) yang bermula pada 15 November 2025, operasi Aerotrain kekal stabil dengan mencatatkan ketersediaan perkhidmatan operasi sebanyak 100 peratus pada Disember 2025, meningkat daripada 98.67 peratus pada Julai 2025.
“Peningkatan ini mencerminkan tahap ketersediaan sistem yang tinggi walaupun kerja-kerja pemeriksaan, pengujian dan pengesahan sedang dijalankan,” katanya.
Pengendali lapangan terbang itu berkata, penilaian bebas tersebut mengenal pasti dua sistem kritikal yang memberi pengaruh langsung terhadap kebolehpercayaan tren, ketersediaan perkhidmatan dan prestasi pemulihan iaitu sistem bekalan kuasa dan rolling stock.
Menurutnya, bagi sistem bekalan kuasa, walaupun reka bentuk keseluruhan dan sistem perlindungan didapati mencukupi serta secara amnya beroperasi seperti yang dimaksudkan, beberapa aspek seperti kualiti pemasangan, pemantauan keadaan rel kuasa dan kejelasan peranan operasi dikenal pasti sebagai bidang yang perlu terus diberi tumpuan bagi mengukuhkan kebolehpercayaan jangka panjang.
“Bagi rolling stock pula, perhatian khusus diberikan kepada peranti pengumpul arus (current collector), yang mempengaruhi kesinambungan daya tarikan dan kestabilan perkhidmatan berikutan interaksi rapatnya dengan rel kuasa.
“CAP dilaksanakan melalui penyelarasan beberapa aliran kerja merangkumi pemeriksaan dan pembaikan, pengujian dan pengesahan sistem serta operasi percubaan.
“Aktiviti pemeriksaan dan pembaikan di seluruh sistem Aerotrain telah diselesaikan, dengan program kini berada pada pencapaian akhir bagi menutup baki tindakan pembaikan yang dikenal pasti semasa pemeriksaan menyeluruh sistem,” jelasnya.
Tambahnya, ujian terpilih ke atas sistem kritikal, termasuk sistem komunikasi dan SCADA serta sistem kuasa telah dijalankan bagi mengesahkan prestasi selepas kerja-kerja pembaikan.
“Operasi percubaan pula dilaksanakan antara 16 hingga 24 Disember 2025, meliputi 18 kes ujian yang dirancang berkaitan bekalan kuasa, antara muka kenderaan dan isyarat serta sistem penggera kebakaran. Dapatan daripada aktiviti ini telah didokumenkan, dengan tindakan penambahbaikan bersasar sedang dilaksanakan.
“Sepanjang tempoh CAP, waktu kerja kejuruteraan pada awalnya dirancang dari 9 malam hingga 7 pagi, namun kemudiannya dipendekkan kepada 11 malam hingga 7 pagi bagi menampung tempoh puncak musim perayaan dan cuti sekolah.
“Susulan penambahbaikan dalam penjadualan kerja dan penempatan sumber, tempoh waktu kejuruteraan yang dipendekkan ini dikekalkan sementara aktiviti CAP diteruskan,” katanya.
Malaysia Airports akan terus melaksanakan baki langkah CAP secara terkoordinasi dan seimbang, disokong oleh pemantauan berterusan serta pengawasan bebas, bagi terus memperkukuh kebolehpercayaan sistem dan mengekalkan operasi Aerotrain yang konsisten di KLIA. – UTUSAN










