Pemuda Warisan tuntut penjelasan kos naik taraf tandas KKIA hampir setengah juta - Utusan Malaysia

Pemuda Warisan tuntut penjelasan kos naik taraf tandas KKIA hampir setengah juta

TERENCE AU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan menuntut penjelasan penuh berhubung dana RM11.8 juta yang dibelanjakan untuk menaik taraf 26 tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Ketua Pemuda Parti Warisan, Terence Au berkata, jumlah kos menaiktaraf diumumkan menimbulkan persoalan serius yang perlu dijawab secara terbuka oleh pihak bertanggungjawab.

“Saya tidak menolak keperluan untuk menaik taraf kemudahan awam. Namun, kos yang terlibat wajar diteliti dengan serius dan memerlukan penjelasan yang telus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah tersebut secara purata adalah kira-kira RM453,000 bagi setiap tandas.

“Orang ramai berhak mengetahui skop sebenar kerja yang dijalankan, bagaimana kos tersebut ditentukan dan sama ada perbandingan telah dibuat dengan projek serupa di lapangan terbang lain bagi memastikan perbelanjaan itu munasabah serta memberikan nilai kepada wang awam,” katanya.

Au berkata, penjelasan umum seperti pelaksanaan secara berperingkat atau operasi pembersihan 24 jam tidak mencukupi untuk menjawab persoalan utama mengapa kos bagi setiap tandas hampir mencecah RM500,000.

“Tandas boleh diganti tetapi nyawa tidak. Keselamatan landasan penerbangan mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya sambil menegaskan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada aspek berkaitan keselamatan termasuk penyelenggaraan dan penaiktarafan landasan serta infrastruktur kritikal lain.

“Pada saat ramai rakyat Sabah masih berdepan dengan keadaan jalan raya yang teruk, sekolah daif, kemudahan kesihatan yang terhad serta gangguan bekalan air yang kerap, setiap perbelanjaan besar mesti disertakan dengan justifikasi yang jelas dan ketelusan penuh,” katanya lagi.

Beliau menggesa pihak berkuasa supaya mendedahkan pecahan penuh kos yang terlibat, berserta penjelasan jelas mengenai keutamaan perbelanjaan, agar orang ramai dapat menilai sama ada projek tersebut benar-benar memberikan nilai untuk wang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN