IPOH: Peniaga makanan beragama Islam diingatkan supaya tidak bersubahat dengan ‘geng plastik hitam’ dengan menjual makanan dan minuman pada siang hari sepanjang bulan Ramadan.
Timbalan Mufti Negeri Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, tindakan menjual makanan dan minuman pada golongan yang sengaja tidak berpuasa itu dianggap sebagai bersubahat dan berdosa
“Kepada peniaga-peniaga, kami memohon agar berhati-hati. Menjual makanan kepada mereka yang tidak mampu berpuasa seperti kanak-kanak adalah dibenarkan, namun jika menjual kepada mereka yang sengaja tidak berpuasa, ia dianggap bersubahat dan berdosa.
“Kami berharap perkara ini dapat dikurangkan dan umat Islam lebih peka kerana ia melibatkan pelaksanaan salah satu daripada rukun Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Pengumuman Zakat Fitrah Negeri Perak 1147H/2026M di Ibu Pejabat Zakat Perak Al-Ridzuan (Zapar), di sini hari ini.
Menurut beliau, isu makan di siang hari dalam kalangan umat Islam yang sengaja tidak berpuasa merupakan fenomena yang berlaku setiap tahun.
Justeru itu katanya, umat islam disaran memainkan peranan masing-masing untuk menegur atau menasihati peniaga mahupun pembeli daripada melakukan perbuatan sedemikian.
“Berhubung isu makan di siang hari pada bulan Ramadan, ini merupakan fenomena yang berlaku setiap tahun dan ia berkait rapat dengan iman seseorang.
“Ia tidak boleh dipaksa, namun kita mengharapkan peranan masyarakat untuk menegur atau menasihati mereka,” katanya. – UTUSAN










