Pengerusi IJM Corporation ditahan SPRM

Pengerusi IJM Corporation ditahan SPRM

IJM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi sya­ri­kat IJM Corporation Berhad (IJM) bergelar Tan Sri ditahan Su­ru­han­jaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) berhu­bung dak­waan pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.

Menurut sumber, penahanan suspek lelaki berusia lingku­ngan 70-an itu dibuat kira-kira pukul 7 petang kelmarin di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas kediamannya digeledah.

Bagaimanapun suspek telah dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil ekoran lelaki itu mengalami masalah kesihatan.

“SPRM sebelum itu telah melakukan penggeledahan di tiga lokasi baharu iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan, sebuah bank pelaburan dan kediaman suspek.

“Siasatan awal mendapati bank pelaburan tersebut telah di­lantik untuk menguruskan pro­ses tawaran pengambilali­han ke atas IJM Corporation Ber­had termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri,” katanya semalam.

Pada 19 Januari lalu, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 ­bilion di luar negara.

Perkara itu susulan Pejabat Penipuan Serius (SFO) United Kingdom yang melancarkan siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram melibatkan IJM.

Dakwaan tersebut timbul ketika Sunway Group dikatakan akan mengambil alih IJM menerusi urus niaga bernilai RM11 bilion di mana cadangan penggabungan kedua-dua syarikat itu dijangka mengubah landskap sektor hartanah dan pembinaan Malaysia, sekali gus berpotensi mendorong pemaju dan kontraktor untuk meningkatkan strategi dan daya saing.

Pada masa sama, sumber memaklumkan, siasatan menumpukan kepada usaha mengesan dan menyita aset lain yang disyaki telah diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.

“Setakat ini pihaknya telah memanggil 15 orang saksi termasuk isteri suspek untuk dirakam percakapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut.

Katanya, fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). 

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat-syarikat yang berkaitan berjumlah kira-kira RM30.6 juta, manakala dua pengurusan tertinggi yang dipanggil SPRM bagi melengkapkan siasatan.

Empat lokasi termasuk kediaman individu serta pejabat syarikat pembinaan, pembangunan hartanah digeledah SPRM dalam satu operasi dipanggil Ops Heart.

Namun IJM dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pengubahan wang haram dan menegaskan komitmen penuh syarikat itu terhadap tadbir urus korporat, ketelusan serta integriti.

Syarikat itu turut menjelaskan bahawa IJM serta sekutunya di UK tidak mengetahui sebarang siasatan oleh SFO.

“Kami menegaskan bahawa operasi perniagaan syarikat berjalan seperti biasa dan sebarang perkembangan material akan diumumkan melalui Bursa Malaysia selaras dengan keperluan pendedahan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN