Pengawal keselamatan tak mengaku salah ceroboh tanah

Pengawal keselamatan tak mengaku salah ceroboh tanah

Tertuduh, M. Paramaguru, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menceroboh kawasan tanah milik seorang individu Jun tahun lalu di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang pengawal keselamatan yang juga pengerusi sebuah kuil dekat sini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menceroboh kawasan tanah milik seorang individu pada Jun tahun lalu.

Tertuduh, M. Paramaguru, 49, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenaran di Jalan Selangor Dredging, Dengkil dekat sini, kira-kira pukul 4.45 petang pada 19 Jun 2025.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum enam bulan atau didenda yang boleh sampai RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Darshela Hari Raja, memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan anak guamnya yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan hanya berpendapatan RM1,800 sebulan.

“Tertuduh yang sudah berkahwin menanggung dua anak kecil masing-masing berusia enam tahun dan 11 bulan, manakala, isterinya yang berusia 41 tahun merupakan seorang suri rumah yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami.

“Justeru, mohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan anak guam saya tidak mempunyai sebarang rekod lampau serta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Difahamkan, tertuduh ditahan di rumahnya di Jalan Selangor Dredging, Dengkil kira-kira pukul 3.30 petang, semalam.

Sebelum ini media melaporkan, tanah terpencil dan berpaya berkenaan dibeli oleh Suhaili Ahmad sejak 2001 bagi tujuan pemasangan papan iklan di tepi lebuh raya terkejut apabila terdapat sebuah kuil yang besar dibina selepas lebih 20 tahun tidak memasuki kawasan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN