JOHOR BAHRU: Lokasi rumah tinggal yang musnah terbakar yang kemudian membawa kepada penemuan enam rangka manusia di kawasan kebun sawit di Kangkar Tebrau di sini merupakan tanah milik persendirian dan terletak jauh dari jalan raya utama.
Salah seorang penduduk setempat yang hanya mahu dikenali Jumari, 50-an memberitahu, lokasi kejadian pembunuhan lima sekeluarga dan seorang lagi lelaki dewasa itu juga terletak jauh dari kawasan perumahan penduduk.
Menurutnya, jarak antara kawasan kebun berkenaan dengan laluan utama iaitu Jalan Skudai- Pontian adalah kira-kira 2.9 kilometer.
“Kebun itu tanah persendirian, orang luar tidak boleh masuk sesuka hati kawasan itu. Apa yang kami tahu ada satu tapak kuil yang sudah lama terbiar di kawasan berhampiran. Kami juga tidak dengar ada orang duduk di rumah tinggal berkenaan.
“Orang luar memang tidak masuk ke kawasan ini, selain jarak jauh, laluan yang ada hanyalah jalan berbatu, bukannya jalan tar.
“Jika ada kenderaan masuk kawasan ini hanya pacuan empat roda atau lori-lori membawa tanaman hasil kebun. Selain tanaman sawit, kawasan ini juga ada kebun durian, rambutan dan tanaman sayur-sayuran lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana persekitaran kawasan berkenaan sunyi dan kawasan itu seolah-olah terlindung daripada tumpuan luar ekoran banyak pokok-pokok besar yang tumbuh berhampiran.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang enggan dikenali memberitahu, masyarakat tempatan yang sudah menetap lama di kawasan berkenaan juga tidak pernah memasuki kawasan kebun tersebut kerana tidak mempunyai urusan di lokasi berkenaan.
“Saya sudah lama tinggal di sini, jadi apabila dapat tahu ada pembunuhan melibatkan seorang ibu dan anak-anak yang masih kecil, memang saya terkejut.
“Saya yakin mangsa bukan penduduk tempatan di sini kerana kami tidak pernah dengar nama mangsa, selain tiada laporan orang hilang di kawasan ini,” katanya yang bekerja sebagai seorang penghantar makanan.
Selasa lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad memberitahu penemuan rangka manusia di rumah tersebut telah membongkar kehilangan enam individu terdiri daripada seorang ibu berusia 35 tahun beserta empat anaknya masing-masing berusia 2, 5, 9 dan 17 tahun.
Satu lagi rangka ditemukan bersama lima sekeluarga itu adalah milik Thamil Selvan yang merupakan rakan kepada wanita dewasa berkenaan.
Kelmarin, dua beradik iaitu R. Utes, 36, dan R. Arasan, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang merupakan salah seorang daripada enam rangka manusia ditemui di kawasan kebun kelapa sawit tersebut. – UTUSAN









