Pendakwah bebas antara dua individu direman SPRM

Pendakwah bebas antara dua individu direman SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua individu termasuk seorang pendakwah bebas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa membabitkan kelulusan dana berjumlah RM600,000.

Menurut sumber, suspek seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an ditahan kira-kira pukul 1 petang, semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.

Mereka disyaki bersubahat menyalahgunakan kuasa meluluskan kira-kira RM600,000 sebagai balasan bayaran mengumpul dana sebuah institusi pusat pendidikan dan dakwah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek, masing-masing merupakan Pengarah Urusan syarikat serta Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar September 2018.

“Suspek utama seorang lelaki dipercayai telah menyalahgunakan jawatannya dengan bersubahat bersama suspek kedua untuk meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 kepada suspek utama sebagai bayaran pengumpul dana tanpa mendapat kelulusan rakan kongsi yang lain,” katanya di sini, hari ini.

Tambah sumber, siasatan yang dijalankan SPRM Kedah dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM telah bermula sejak Oktober tahun lalu.

Perintah reman selama sehari sehingga esok terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Noorfazlina Musa selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×