Pendakwa Raya boleh dilantik tanpa nasihat PM - Utusan Malaysia

Pendakwa Raya boleh dilantik tanpa nasihat PM

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Pendakwa Raya tanpa nasihat Perdana Menteri berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ini kerana kuasa eksekutif tertinggi Persekutuan terletak kepada Seri Paduka.

Beliau berkata, kaedah pelantikan Peguam Negara boleh diteruskan seperti amalan sekarang dan pindaan Perkara 145 (3) perlu dibuat untuk mengeluarkan sepenuhnya kuasa pendakwaan.

“Pendakwa Raya perlu dilantik dalam kalangan pegawai perkhidmatan perundangan atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) kepada Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Majlis Raja-Raja dan tidak boleh dilucutkan melainkan melalui tribunal.

“Pemerkasaan tadbir urus fungsi kuasa eksekutif perlu dibuat dengan menetapkan pelantikan Pendakwa Raya oleh Seri Paduka dengan mengikut nasihat Majlis Raja-Raja manakala proses pelantikan Peguam Negara kekal se­perti sekarang,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pelantikan Pendakwa Raya tidak akan melibatkan pera­nan dan kuasa Perdana Menteri, sebaliknya akan melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Wan Ahmad Fauzi tidak bersetuju jika kedua-dua jawatan itu dilantik oleh Parlimen kera­na ia akan merampas kuasa eksekutif Seri Paduka.

Katanya, Parlimen perlu kekal kepada fungsi kuasa penggubalan undang-undang dan pemantauan kuasa eksekutif dalam kerangka sedia ada.

Beliau berkata, fungsi jawatan tersebut sememangnya ada dibincangkan semasa penggubalan Perlembagaan oleh raja-raja Melayu dan Kerajaan British serta diperhalusi oleh wakil masing-masing.

Katanya, jawatan dan fungsi kuasa tersebut memang tidak diniat untuk diletakkan di bawah Parlimen kerana kedua-duanya adalah kuasa eksekutif.

“Saya berpandangan tidak wajar untuk kedua-dua atau salah satu jawatan itu dipertanggungjawab terus kepada Parlimen. Ini adalah prinsip pemisahan kuasa yang dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Sistem yang ada sudah memperuntukkan Jemaah Menteri bertanggungjawab kepada Parlimen. Sudah ada mekanisme audit dan jawatankuasa terpilih (select committee) untuk meneliti isu tadbir urus,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, kerajaan negeri juga perlu mempunyai budi bicara untuk melantik penasihat undang-undang dalam kalangan pegawai Pejabat Peguam Negara (AGC) atau mana-mana ahli perundangan yang la­yak bagi memelihara hak negeri di bawah Federalisme.

Katanya, kematangan sistem perundangan negara akan tercapai jika semua pihak benar-benar menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan yang diwarisi daripada kedaulatan raja-raja Melayu sebagai pemegang amanah, bukan cuba mengimport sistem demokrasi tulen dari Barat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN