PETALING JAYA: Pemuda UMNO berikrar akan menolak dan menggagalkan rancangan untuk memperkenalkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, cadangan itu timbul susulan cubaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum ini.
Katanya, kali ini ‘mereka’ kembali dengan cadangan memperkenalkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Mereka tetap mereka, kita jangan lalai. Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan URA (Akta PSB) dan pilihan raya PBT sebelum ini, begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
‘Mereka’ yang dimaksudkan Dr. Muhammad Akmal dipercayai adalah Ahli Parlimen DAP.
Beliau berkata, sedang orang Melayu sibuk bergaduh kerana kuasa, ‘mereka’ pula sedang bersatu kerana perkara sama.
“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa, mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya.
Dalam hantaran tersebut, Dr. Muhammad Akmal turut mengepil tangkap layar laporan sebuah portal berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Memetik laporan itu, Yeoh berkata, kementeriannya sedang mempertimbangkan pelaksanaan pilihan raya itu kerana dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya melalui pilihan raya kerajaan tempatan. – UTUSAN










