KUALA LUMPUR: Semua pihak wajib mematuhi undang-undang yang termaktub termasuk dalam perkara berkaitan penggunaan tanah dan pembinaan rumah ibadat.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, isu pembinaan kuil hendaklah ditangani mengikut peraturan dan saluran undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja dan tokong.
Titah Seri Paduka, sebarang isu berkaitan agama tidak seharusnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan serta kestabilan negara yang berbilang kaum.
“Malaysia dibina atas asas keharmonian dan kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati, toleransi serta pematuhan kepada undang-undang.
“Setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai-nilai tersebut demi kepentingan bersama,” titah Sultan Ibrahim menerusi hantaran Facebook Seri Paduka hari ini.
Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Istana Negara.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menimbulkan salah faham, perpecahan serta menggugat keamanan negara.
Sultan Ibrahim mengimbas kembali pengalaman Seri Paduka Baginda pada Januari 2018 apabila bertindak sebagai pendamai dalam menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara baik, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan masalah berkenaan secara baik serta menasihatkan semua pihak yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini serta menjaga ketenteraman awam,” titah Sultan Ibrahim.
Seri Paduka Baginda bertitah, agama Islam menekankan prinsip saling hormat-menghormati antara sesama manusia dan Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.
“Penganut agama lain juga wajar menunjukkan sikap hormat terhadap Islam. Pendekatan saling menghormati ini penting bagi mengelakkan salah faham, ketegangan dan provokasi, sekali gus memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan budaya.
“Oleh demikian, apabila timbul sebarang isu berkaitan pembinaan kuil atau rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami serta menghormati undang-undang negara, di samping menyelesaikan perbezaan menerusi saluran yang sah demi mengekalkan keharmonian, toleransi dan semangat muhibah,” titah Seri Paduka Baginda.-UTUSAN










