Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) tampil memacu perubahan sosial sebenar menerusi peluasan inisiatif Allianz Eco Quest ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi bagi membentuk sahsiah, bakat kepimpinan serta kesedaran cintakan alam sekitar.

Inisiatif itu memfokuskan pembangunan kepimpinan, pembentukan jati diri dan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah menengah sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.
Perkara berkenaan turut dirasai oleh pelajar yang terlibat apabila program itu memberi pendedahan awal terhadap nilai kerjasama, keyakinan diri dan pembelajaran secara interaktif.
Bagi pelajar SMK Langkawi, Danial Haziq Md. Hapizi, 15, yang merupakan alumni Allianz Eco Quest ketika di SK Pulau Tuba, tidak dapat menyembunyikan keterujaannya apabila bakal menyertai semula program itu tahun ini.
“Saya berharap Allianz Eco Quest dapat diperluas melalui permainan digital, projek komuniti dan aktiviti lain yang membina kemahiran praktikal pelajar,” katanya.
Sementara itu pelajar SK Pulau Tuba Nur Afina Hanania Ismail, 12, berkata aktiviti berkumpulan dalam program itu berjaya meningkatkan keyakinan diri serta kemahiran komunikasi bersama rakan sebaya.

“Bimbingan Allianz dan Incredible Hearts yang disampaikan secara santai dan menyeronokkan menjadikan saya lebih jelas tentang perancangan masa hadapan,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Zakhwan Mohd. Fikri, 12, berkata, penyertaan dalam program itu banyak mengajar nilai disiplin, kerjasama dan rasa tanggungjawab terhadap dirinya.
“Saya teruja apabila mengetahui program ini akan diteruskan ke peringkat SMK kerana ia memberi peluang untuk kami terus belajar,” katanya.
Sementara itu, Nurfathia Dania Mohd. Adha, 15, turut berkongsi pengalaman sebagai alumni program berkenaan yang disertainya di sekolah rendah sebelum ini.
“Saya berharap program ini terus memberi pendedahan praktikal dan lebih ramai rakan di sekolah menengah dapat turut serta merasai pengalaman pembelajaran bermakna,” katanya.
Wakil ibu pelajar SK Pulau Tuba, Nadziah Mohd. Nor, 44, berkata, kebimbangan awal ibu bapa berkaitan beban tambahan anak-anak akhirnya terjawab apabila melihat kesan positif program itu.
“Pada awalnya kami ragu-ragu, namun selepas melihat perubahan positif, kami percaya ini peluang terbaik untuk anak melangkah lebih jauh,” katanya.
Wakil bapa pelajar SK Pulau Tuba, Ahmad Nazri Ramli, 46, berkata, beliau melihat perubahan ketara apabila anaknya kini lebih bermotivasi dan memberi keutamaan kepada pelajaran.

“Saya harap semangat ini berterusan hingga ke menara gading dan menjadi bekalan sepanjang kehidupan,” katanya.
Wakil guru SK Pulau Tuba, Muhd. Nizam berkata, kesinambungan program itu diyakini mampu mencipta impak lebih besar terhadap pembangunan pelajar.
“Pelajar kini lebih berani berkomunikasi dan memimpin, justeru kesinambungan ke SMK dijangka memperkukuh keyakinan mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Allianz Malaysia Berhad, Zakri Khir berkata peluasan program itu dibina berdasarkan kejayaan Allianz Eco Quest di Pulau Tuba sejak 2022.
Menurutnya, program tiga tahun bermula 2026 hingga 2028 itu dilaksanakan bersama Incredible Hearts menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan.
“Program ini kesinambungan kejayaan di SK Pulau Tuba sejak 2023 yang memberi impak nyata kepada pembelajaran pelajar,” katanya.
Beliau berkata, modul SMK memberi tumpuan kepada kemahiran praktikal, bimbingan kepimpinan dan kemahiran hidup bagi membentuk pelajar berjati diri kukuh.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Allianz memastikan pelajar luar bandar menikmati peluang pembangunan setara dengan pelajar bandar,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang Wee Keong berkata, perubahan sosial perlu bermula sejak usia muda agar nilai pendidikan dapat diserap dengan berkesan.
Menurutnya, pelaksanaan dua setengah tahun di Pulau Tuba membuktikan keberkesanan program dan wajar diteruskan ke peringkat menengah.
“Tempoh lanjutan tiga tahun membolehkan pemantauan rapi serta pendedahan dunia luar bagi mempersiapkan pelajar menghadapi realiti sebenar,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Incredible Hearts, Nurul Asna Hidayah Mior Abdul Rahman berkata, program itu dirangka bagi melahirkan alumni yang mampu memimpin komuniti setempat.
Katanya, modul sekolah menengah merangkumi permainan digital, pendigitalan, keusahawanan, kesukarelaan serta literasi kewangan.
“Matlamat kami melahirkan alumni berjaya yang kembali menyumbang kepada komuniti Pulau Tuba,” katanya. –UTUSAN










