Pemandu van tidak mengaku bakar kenderaan, langsir rumah

Pemandu van tidak mengaku bakar kenderaan, langsir rumah

NOR AHMAD MURNI Abdul Hamid (tengah) dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang bagi menjalani prosiding kes khianat dengan api hari ini.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Seorang pemandu van mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan menggunakan api dalam kejadian di Bayan Lepas, Januari lalu.

Tertuduh, Nor Ahmad Murni Abdul Hamid, 36, yang juga bapa kepada tiga anak membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh melakukan khianat dengan api dengan cara membakar langsir di kediaman milik seorang individu dengan menggunakan bahan api mudah terbakar sehingga menyebabkan kerosakan kepada harta benda tersebut pada 24 Januari lalu, kira-kira pukul 6.50 petang di sebuah rumah di Sungai Ara, Bayan Lepas.

Tertuduh turut berdepan lapan pertuduhan lain melakukan khianat dengan api dengan menggunakan bahan api mudah terbakar sehingga menyebabkan kerosakan kepada harta benda iaitu kerosakan terhadap lima buah kereta, dan tiga buah motorsikal pada 27 Januari lalu, di Bayan Lepas, antara pukul 4.45 hingga 5.15 pagi.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong menawarkan jaminan berjumlah RM92,000 bagi sembilan pertuduhan berkenaan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan menganggu saksi sehingga kes selesai, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada.

Tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh adalah bapa tunggal yang menjaga tiga orang anaknya selepas kematian isteri di samping berpendapatan RM1,800 sebulan sahaja.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM40,000 dengan seorang penjamin menetapkan agar tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak dibenarkan mengganggu saksi dan pasport tertuduh perlu diserah kepada mahkamah sekiranya ada serta menetapkan 9 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan, beberapa kenderaan termasuk Perodua Bezza, Honda CR-V, Perodua Myvi, Toyota Corolla Cross dan Honda Civic selain empat motosikal terbakar sehingga 80 peratus. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN