Pekerja asing berniaga, memasak di bazar berdepan tindakan - MBPP

Pekerja asing berniaga, memasak di bazar berdepan tindakan – MBPP

A. RAJENDRAN (tiga dari kiri) ketika hadir merasmikan Bazar Ramadan Liga Muslim di George Town, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pekerja asing yang didapati berniaga atau memasak di premis-premis makanan termasuk bazar Ramadan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) boleh dikenakan tindakan yang tegas.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. A. Rajendran berkata, pada masa yang sama, tindakan juga boleh dikenakan terhadap mana-mana peniaga tempatan sekiranya mereka dikesan menyewakan gerai kepada pekerja-pekerja asing itu.

Bagaimanapun katanya, MBPP masih bertoleransi sekiranya pekerja asing tersebut hanya berperanan sebagai pembantu untuk melancarkan aktiviti jualan dan sebagainya.

“Kita memang ambil tindakan (terhadap pekerja asing) seperti tahun-tahun sebelumnya jika ada. Dalam hal ini, pekerja asing hanya dibenar untuk membantu perniagaan milik peniaga tempatan dan bukannya memasak atau mengendalikan premis di situ,” katanya kepada pemberita di sini.

Justeru, kata Rajendran, pihaknya akan menjalankan pemantauan berterusan di semua 27 bazar Ramadan dalam daerah Timur Laut dan Barat Daya di sini bagi memastikan semua peniaga berlesen dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Rajendran memberitahu, MBPP turut memberi fokus kepada aspek keselamatan pengunjung bazar Ramadan dan kesesakan lalu lintas di lokasi-lokasi bazar yang menjadi tumpuan di bahagian pulau ketika ini.

Katanya, antara langkah yang diambil termasuk menggalakkan pengunjung supaya berjalan kaki ke bazar Ramadan dan tidak meletakkan kenderaan berhampiran lokasi bazar kerana dikhuatiri akan mengundang kesesakan lalu lintas yang teruk.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN