Polis bongkar restoran jadi 'penjara' pekerja asing

Polis bongkar restoran jadi ‘penjara’ pekerja asing

SEBAHAGIAN individu yang ditahan polis dalam Op Pintas Khas di sebuah premis di Pusat Niaga Nakhoda, Melaka, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Aktiviti pemerdagangan manusia membabitkan pekerja asing tanpa dokumen terbongkar apabila polis menahan seramai 27 individu serta menyelamatkan dua remaja warga Myanmar dalam serbuan Op Pintas Khas di sebuah premis perniagaan di Pusat Niaga Nakhoda, di sini, semalam.

Serbuan yang dijalankan pada 28 Januari kira-kira pukul 12 tengah hari oleh sepasukan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah itu dibuat hasil maklumat risikan diterima pihak polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, operasi berkenaan turut disertai Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan berjaya menyelamatkan dua remaja berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi.

Menurut beliau, tangkapan melibatkan seorang lelaki berusia 20 tahun dan seorang wanita berusia 24 tahun, keduanya warga tempatan dipercayai bertindak sebagai pengurus premis, selain 25 warga Myanmar terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita berumur antara 23 hingga 47 tahun

“Mereka (warga Myanmar) didapati bekerja dari pukul 11 pagi hingga 11 malam tanpa hari cuti, selain laluan keluar masuk dikunci selepas waktu operasi dengan kunci hanya dipegang pihak pengurusan.

“Keadaan ini menghadkan kebebasan pergerakan mereka sekali gus menimbulkan syak wasangka kuat berlaku eksploitasi dan pengurungan, selari dengan elemen kesalahan pemerdagangan manusia,” katanya kepada pemberita hari ini.

Christopher berkata, dua remaja Myanmar itu diambil tindakan penyelamatan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selepas penilaian dibuat berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicator (NGHTI 2.0).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua suspek ditempatkan di lokap manakala dua mangsa kanak-kanak akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh bagi mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO),” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN