PARLIMEN: Lebih RM137 juta diperuntuk tangani penyakit tidak berjangkit

PARLIMEN: Lebih RM137 juta diperuntuk tangani penyakit tidak berjangkit

DZULKEFLY Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan lebih RM137 juta tahun ini bagi memperkukuh usaha pencegahan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) susulan peningkatan komplikasi diabetes dan penyakit jantung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan khusus itu disalurkan menerusi beberapa inisiatif saringan, rawatan dan advokasi pemakanan sihat.

“Daripada jumlah tersebut, RM10 juta diperuntukkan bagi Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) yang bertujuan memperluas saringan awal faktor risiko penyakit tidak berjangkit kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas.

“Sebanyak RM80 juta diperuntukkan bagi Program PeKa B40 yang menyediakan saringan kesihatan percuma kepada golongan berpendapatan rendah.

“Manakala RM1.7 juta diperuntukkan bagi Inisiatif War on Sugar iaitu kempen advokasi pemakanan sihat bagi mengurangkan pengambilan gula berlebihan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai tahap kesiapsiagaan hospital kerajaan dalam menghadapi peningkatan NCD seperti diabetes dan penyakit jantung serta peruntukan khusus bagi pencegahan awal.

Dzulkefly berkata, sebanyak RM45.4 juta turut diperuntukkan bagi memperluas akses kepada ubat SGLT2 inhibitors (SGLT2i) untuk rawatan diabetes.

Katanya, ia juga bagi mengurangkan risiko komplikasi seperti penyakit buah pinggang kronik dan kegagalan jantung, sekali gus mengurangkan kemasukan ke hospital serta kos rawatan jangka panjang.

“Beban ekonomi akibat NCD seperti penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes dan penyakit paru-paru kronik di Malaysia dianggarkan mencecah RM64.2 bilion.

“Ia melibatkan RM12.4 bilion kos rawatan kesihatan dan RM51.8 bilion kos tidak langsung termasuk kehilangan produktiviti serta kematian pramatang,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, seramai 1.8 juta individu telah menjalani saringan menerusi NHSI setakat tahun lalu, dengan 17.9 peratus dikesan mengalami tekanan darah tinggi manakala sembilan peratus mempunyai paras gula tinggi. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN