KUALA LUMPUR: Penjualan kanta lekap kosmetik haram secara dalam talian yang gagal ditangani undang-undang sedia ada memerlukan Rang Undang-undang (RUU) Optometri dibentangkan di Parlimen pada Oktober tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 103 komplikasi mata akibat penggunaan kanta lekap kosmetik tanpa preskripsi direkodkan pada 2007 dan meningkat kepada 109 kes pada 2013.
Beliau berkata, RUU itu bertujuan memperkemas pengawalseliaan amalan optometri agar lebih jelas, selamat dan berakauntabiliti
“Sebagai langkah mengawal penjualan kanta lekap kosmetik secara dalam talian yang berisiko menjejaskan keselamatan mata pengguna, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan Garis Panduan Penjualan Alat Optik dan Kanta Lekap Secara Dalam Talian sejak 2021.
“Panduan ini menggariskan penjualan kanta lekap secara dalam talian yang hanya dibenarkan kepada optometris dan juruoptik dengan syarat dan terma tertentu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) berhubung Akta Optometris dan langkah kerajaan mengawal penjualan kanta lekap kosmetik secara dalam talian.
Dzulkefly berkata, KKM bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) yang mempunyai punca kuasa untuk bertindak dalam penguatkuasaan penjualan kanta lekap kosmetik haram.
“KKM turut mengadakan sesi libat urus bersama 12 persatuan optometri dan juruoptik, lapan institusi pendidikan tinggi (IPT), sembilan wakil industri serta masing-masing satu kementerian dan agensi di bawah KKM bagi mendapatkan pandangan.
“Untuk makluman, seramai 3,458 pengamal optometri dan 3,609 juruoptik direkodkan, menjadikan keseluruhan seramai 7,067 yang berdaftar dengan kementerian ketika ini.
“Setakat ini, KKM juga mempunyai 30 pegawai optometri yang dilatih untuk menjalankan penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN










