KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti aspek teknikal susulan keputusan mewajibkan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan bagi semua aliran pendidikan di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, penelitian itu memberi tumpuan kepada aspek penilaian pembelajaran, peperiksaan dan pemantauan kualiti melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan sekolah persendirian Cina.
Katanya, beberapa siri perbincangan telah dimulakan termasuk pertemuan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dengan Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, persatuan sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat serta wakil sekolah antarabangsa.
“Dalam pertemuan itu, KPM membincangkan ketetapan supaya pelajar di sekolah yang tidak berteraskan Kurikulum Kebangsaan menduduki mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“KPM akan memaklumkan keputusan rasmi berhubung perkara yang dibangkitkan kepada semua pihak terlibat,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPT di Dewan Rakyat, hari ini.
Zambry berkata, bagi KPT, sesi libat urus diadakan pada 4 Februari lalu bersama persatuan sekolah antarabangsa Malaysia, jawatankuasa pendidikan Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC), Help International Schools Group, Sunway International Schools serta Taylor’s Education Group.
“Menerusi sesi itu, sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah menengah persendirian Cina memaklumkan telah menyediakan laluan peperiksaan SPM bagi membolehkan pelajar menyambung pengajian ke institut pengajian tinggi awam (IPTA).
“Selain itu, lebih 87 peratus pelajar sekolah persendirian Cina mengambil peperiksaan SPM,” katanya.
Mengulas perubahan struktur program matrikulasi dan tingkatan enam, Zambry berkata, KPT dan KPM sedang meneliti urusan berkaitan aspek perundangan, kebajikan, kewangan, perjawatan, sistem dan aset.
Zambry berkata, Jawatankuasa Pemandu Bersama antara KPT dan KPM telah ditubuhkan pada 19 Disember lalu bagi menilai semua aspek berkaitan termasuk pengoptimuman sumber sedia ada bagi kedua-dua program tersebut.
“KPT akan mengambil alih keseluruhan sistem pra universiti melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun depan,” katanya. – UTUSAN










