KUALA LUMPUR: Seramai 417,158 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dikategorikan culas masih gagal membuat bayaran balik pinjaman.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim berkata, daripada jumlah itu, hanya 0.7 peratus disenarai hitam untuk keluar negara kerana gagal menjelaskan tunggakan.
“Sekatan perjalanan hanya dikenakan kepada peminjam berpendapatan tinggi yang culas dan menepati beberapa kriteria tertentu manakala peminjam yang baharu menamatkan pengajian atau belum mempunyai pendapatan tidak akan terjejas.
“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap beban hutang graduan serta kesukaran mereka membuat bayaran balik pinjaman sekiranya tidak berkemampuan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) mengenai jumlah hutang PTPTN dan adakah kerajaan bersedia menghapuskan hutang PTPTN seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.
Adam Adli berkata, setakat ini, RM77.5 bilion pinjaman PTPTN telah dikeluarkan bagi membantu lebih 4.26 juta pelajar di seluruh negara.
Beliau berkata, kerajaan turut memulakan pendidikan percuma kepada golongan yang memerlukan iaitu membabitkan 13,000 pelajar.
Katanya, semua blok politik mempunyai aspirasi yang sama iaitu ingin menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat.
“Soalnya bukan semata-mata menguruskan hutang atau menghapuskan hutang tetapi soal menyediakan pendidikan percuma dan ini sedang dilaksanakan sekarang.
“Kalau kita ambil manifesto contohnya Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), semua ada menyebut soal mengurangkan beban pelajar sama ada melalui pengajian tinggi percuma, pengurangan kos yuran universiti, keanjalan atau diskaun.
“Semua ini memerlukan tekad bukan sahaja daripada sudut politik, malah memerlukan keupayaan fiskal,” katanya. – UTUSAN










