PETALING JAYA: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Seri Noridah Abdul Rahim dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Integriti Malaysia (IIM) yang baharu, berkuat kuasa semalam.
Pelantikan tersebut bagi mengisi kekosongan jawatan susulan persaraan Datuk Ts. Ahmad Ramzan Daud pada 24 Disember 2025.
IIM dalam kenyataan berkata, Noridah memiliki pengalaman luas dalam perkhidmatan awam sejak memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada September 1998.
“Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan utama termasuk Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perpaduan Negara, Setiausaha di Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman serta Pengarah di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
Noridah merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pembangunan Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
IIM berkata, dengan pengalaman luas dan ketokohan dalam pentadbiran awam, Noridah mampu memacu ke arah kecemerlangan dalam usaha membudayakan integriti dan tadbir urus terbaik di Malaysia. – UTUSAN










