Mudim Zakaria Food labur RM10 juta tingkat kualiti produk

Mudim Zakaria Food labur RM10 juta tingkat kualiti produk

MOHD. Izzad Al Syafiq Abdul Karim (kiri) menunjukkan produk keluaran Mudim Zakaria Food Industries ketika ditemui pemberita di kilang syarikat itu di Kampung Jelutong, Pendang, Kedah, semalam. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Pengeluar produk makanan terkenal di utara, Mudim Zakaria Food Industries Sdn. Bhd. melabur kira-kira RM10 juta bagi pembelian mesin berteknologi baharu dalam menjamin kualiti produk di samping meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Jenama Mudim Zakaria Food, Mohd. Izzad Al Syafiq Abdul Karim, mesin tersebut mampu menghasilkan sehingga 12 juta unit produk setahun berbanding kira-kira tujuh juta unit, ketika ini.

“Pengeluaran syarikat terutama bagi produk kicap dan sos sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada mesin lama yang telah berusia belasan tahun dan tidak lagi mampu menampung peningkatan permintaan.

“Sebagai contoh tahun lepas, kami mengeluarkan sebanyak 7.2 juta unit produk menggunakan mesin sedia ada, sedangkan kapasiti sebenar mesin itu hanya sekitar empat juta unit setahun,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Jelutong, semalam.

Beliau berkata, mesin pengeluaran baharu yang dalam proses percubaan dijangka dapat memastikan kestabilan kualiti serta meningkatkan kecekapan operasi pengeluaran syarikat.

Tambahnya, Mudim Zakaria Food yang kini sudah mencecah 39 tahun dalam pasaran juga sedang giat melaksanakan langkah pemulihan kualiti produk, susulan aduan daripada pengedar dan pengguna sejak tahun lalu.

“Kami telah memperketatkan kawalan kualiti dan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu yang dibangkitkan, termasuk mengambil tindakan drastik di bahagian mekanikal dan teknikal pengeluaran,” katanya.

Mohd Izzad turut menjelaskan bahawa sijil halal syarikat yang sebelum ini digantung bagi tujuan semakan semula selaras dengan polisi baharu, telah dikembalikan pada 15 Disember tahun lalu.

“Penggantungan tersebut bukan kerana berpunca daripada penggunaan bahan terlarang atau isu kebersihan yang digembar-gemburkan tetapi hanyalah kerana prosedur semasa,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu yang mengeluarkan sembilan jenis produk makanan termasuk kicap, sos, cuka dan serbuk masakan masih dimiliki 100 peratus oleh Bumiputera.

“Meskipun produk Mudim Zakaria Food keluaran syarikat muslim tetapi kami ingin menegaskan ianya adalah untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau peringkat umur,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN